Home » Anak syarikat Sedco gagal capai keuntungan setahun bakal melalui MBO atau ditutup – Masiung
Berita GRS Politik

Anak syarikat Sedco gagal capai keuntungan setahun bakal melalui MBO atau ditutup – Masiung

AMANAT: Masiung sedang berkata sesuatu semasa Majlis Amanat Pengerusi dan Pengurus Besar Kumpulan Sedco, dekat sini.

KOTA KINABALU: Anak-anak syarikat di bawah Kumpulan Sedco yang gagal mencapai keuntungan dalam tempoh setahun akan melalui proses management buyout (MBO) atau ditutup, tegas Pengerusinya Masiung Banah.

Beliau berkata, mempertahankan syarikat yang terus rugi hanya akan membebankan agensi induk dan menjejaskan prestasi keseluruhan kumpulan. Setiap anak syarikat akan dinilai berdasarkan pencapaian sasaran dan keberkesanan operasi.

Menurut Masiung, syarikat yang gagal mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) diwajibkan mengemukakan pelan tindakan bagi memperbaiki prestasi serta kedudukan kewangan, manakala langkah reformasi urus tadbir akan dilaksanakan terhadap entiti yang kurang berdaya saing.

Beliau turut memaklumkan pihak pengurusan tertinggi kini menilai keberkesanan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat korporat di bawah Sedco, dengan pemantauan operasi dibuat secara berkala setiap tiga bulan.

“Walaupun setakat ini tiada laporan serius berkaitan salah laku korporat, pemantauan rapi tetap perlu. Saya sendiri akan turun ke lapangan dari semasa ke semasa,” katanya selepas Majlis Amanat Pengerusi dan Pengurus Besar Kumpulan Sedco, baru-baru ini.

Kumpulan Sedco kini mempunyai kira-kira 23 anak syarikat merangkumi pelbagai sektor industri. Tiga entiti dikenal pasti sebagai fokus utama tahun ini bagi menjana rantaian ekonomi negeri, iaitu Sedco Mining Sdn Bhd, projek Kudat Blue Economy Park dan Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd.

–TAMAT