Home » Sabah pamer budaya, muzik tradisi sempena PABKL 2024
Berita Gagasan Rakyat Politik

Sabah pamer budaya, muzik tradisi sempena PABKL 2024

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif melawat tapak pameran di Perpustakaan Negeri Sabah.

KOTA KINABALU : Sabah bakal mempamerkan budaya dan seni muzik tradisi menerusi pelaksanaan mini Kaamatan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PABKL) 2024 yang bermula Jumaat ini.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pesta buku tahunan yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur  itu akan dimanfaatkan sebaiknya.

“Sebagai negeri tamu, ini adalah merupakan peluang terbaik bagi mempromosikan budaya Sabah antaranya dengan mengadakan mini Kaamatan dengan memperagakan busana dan muzik memandangkan bulan ini merupakan bulan Kaamatan.

“PABKL 2024 juga dapat memberi peluang buku-buku terbitan tempatan dipamerkan termasuk buku terbitan Perpustakaan Negeri Sabah berkenaan Penubuhan Malaysia agar golongan muda agar lebih memahami sejarah.

“Di samping itu, PABKL 2024 akan disajikan dengan kehadiran penulis-penulis berasal Sabah yang terkenal seperti Ramlee Awang Murshid dan Datuk Jasni Matlani yang akan turut hadir di pesta berkenaan” katanya kepada media ketika melawat ke Perpustakaan Negeri Sabah, di sini pada Selasa.

Sementara itu, Arifin berkata, beberapa inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Sabah melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya juga akan dipamerkan sepanjang 10 hari pesta itu berlangsung. 

“Antara yang dipamer adalah berkenaan Rumah SMJ yang disediakan lebih kurang 1,500 ke 1,700 buah rumah selain inisiatif-inisiatif pendidikan bernilai RM45 juta yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.

Katanya, selain pameran, orang ramai juga berpeluang menyertai beberapa acara di reruai Pavilion Sabah setiap hari.