Home » Sabah perluas jalinan digital sekolah, KPSTI–Kementerian Komunikasi pererat Kerjasama
Berita GRS Politik

Sabah perluas jalinan digital sekolah, KPSTI–Kementerian Komunikasi pererat Kerjasama

KENANGAN: James (kanan) bersama Fahmi (tengah) dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din semasa pertemuan itu

PUTRAJAYA: Kerajaan Negeri Sabah melalui Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) komited untuk terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Kementerian Komunikasi bagi memastikan agenda pendigitalan pendidikan dan keterangkuman digital di negeri itu dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, berkata komitmen itu dizahirkan susulan kunjungan hormat beliau kepada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, di pejabat kementerian berkenaan, Isnin.

Dalam pertemuan itu, James merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atas usaha berterusan meningkatkan kesalinghubungan digital di Sabah, termasuk pelaksanaan inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 serta peruntukan melebihi RM2 bilion menerusi Belanjawan 2026 dan inisiatif berkaitan MCMC bagi memperkukuh infrastruktur digital negeri.

Beliau menegaskan portfolio pendidikan, sains, teknologi dan inovasi di Sabah amat bergantung kepada infrastruktur komunikasi yang stabil dan berkualiti, khususnya bagi sekolah-sekolah di kawasan luar bandar, pedalaman dan pulau.

“Cabaran geografi Sabah yang luas memerlukan pendekatan dasar yang lebih disesuaikan dan berimpak tinggi bagi memastikan tiada komuniti tercicir daripada arus pendigitalan,” katanya.

KPSTI Sabah turut mengambil maklum pelaksanaan JENDELA Fasa 2 yang memberi tumpuan kepada kawasan belum mendapat liputan, khususnya di pedalaman. Dalam hal ini, Sabah mencadangkan agar sekolah dijadikan nod keutamaan pelaksanaan, termasuk penyambungan gentian optik terus ke premis sekolah serta peluasan penggunaan teknologi satelit bagi kawasan yang sukar dicapai dalam masa terdekat.

KPSTI juga menyatakan kesediaan untuk bertindak sebagai pemudah cara dalam urusan perolehan tanah dan kelulusan pihak berkuasa tempatan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek infrastruktur digital di negeri ini.

Dalam perbincangan sama, James mencadangkan agar penggunaan Dana Universal Service Provision (USP) diperluaskan bukan sahaja kepada pembinaan menara dan infrastruktur luaran, malah turut merangkumi pembangunan ekosistem pembelajaran digital di sekolah.

Antara inisiatif yang dicadangkan ialah penubuhan Digital Smart Lab di sekolah-sekolah terpilih, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, bagi menyokong pembelajaran STEM, TVET, kecerdasan buatan (AI) asas dan keselamatan siber.

Selain aspek infrastruktur dan pendidikan digital, kedua-dua pihak turut membincangkan isu keselamatan digital melibatkan remaja, termasuk cadangan mengurangkan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan remaja bawah 16 tahun. Langkah ini dilihat penting dalam membanteras ancaman jenayah seksual dalam talian, termasuk pedofilia, serta melindungi kesejahteraan dan perkembangan sahsiah golongan muda.

KPSTI Sabah turut mencadangkan satu kerangka kerjasama rasmi melibatkan Kementerian Komunikasi, MCMC, KPSTI dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah bagi melaksanakan pendekatan whole-of-government dalam pendigitalan pendidikan. Model projek rintis bersama menggunakan Dana USP dicadangkan untuk membuktikan keberkesanan pelaksanaan sebelum diperluaskan ke seluruh negeri.

James yakin kerjasama erat itu mampu menjadi model nasional bagi pendigitalan pendidikan di negeri bergeografi mencabar, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan demi masa depan generasi muda Sabah.

–TAMAT