KOTA KINABALU: Pengerusi baharu Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), Datuk Masiung Banah, menggesa seluruh pegawai dan kakitangan agensi itu supaya bekerja sebagai satu pasukan serta mengamalkan tadbir urus berprestasi tinggi bagi memperkukuh peranan SEDCO sebagai pemacu ekonomi negeri.
Beliau turut mengingatkan barisan pengurusan termasuk eksekutif anak-anak syarikat di bawah Kumpulan SEDCO agar meninggalkan budaya kerja “sekadar makan gaji” dan sebaliknya mengambil inisiatif untuk mengenal pasti serta memaksimumkan potensi pelaburan.
Masiung mula melaporkan diri pada Isnin selepas menerima pelantikan minggu lalu dan seterusnya menerima taklimat daripada Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Datuk James Wong. Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Thomas Logijin.
Beliau menegaskan bahawa seluruh warga kerja Kumpulan SEDCO perlu berfungsi sebagai satu keluarga serta menolak sikap ego dalam pengurusan pentadbiran.
“Kita meletakkan sasaran agar Kumpulan SEDCO muncul sebagai pemacu utama ekonomi Sabah, justeru kita memerlukan pegawai yang profesional dan berprestasi tinggi.
“Setiap cadangan perlu dikaji secara mendalam sama ada ia mampu menjana keuntungan dan memberi pulangan kepada negeri. Kita tidak boleh melaksanakan sesuatu projek atau pelaburan secara tergesa-gesa tanpa perancangan yang rapi,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada pembaharuan pentadbiran, Masiung mencadangkan supaya SEDCO mengemukakan laporan prestasi kepada kerajaan negeri setiap tiga bulan bagi memastikan tahap kebertanggungjawaban dan ketelusan diperkukuh.
Beliau turut menggesa pembuat dasar agar setiap rangka kerja yang dirangka berpaksikan keperluan rakyat sebelum dibentangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah.
“Keutamaan kita ialah memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan memberi manfaat langsung kepada rakyat dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri secara mampan,” katanya.
–TAMAT

























Add Comment