Home » Sabah tidak akan lepaskan hak dalam Perlembagaan Persekutuan: Masidi
Politik

Sabah tidak akan lepaskan hak dalam Perlembagaan Persekutuan: Masidi

Penduduk Kampung menzahirkan penghargaan kepada ADUN Karanaan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun atas keprihatinan beliau yang sentiasa membantu serta menyelesaikan permasalahan yang di hadapi penduduk kampung.
Masidi berkata kedudukan mutlak hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan ini juga terpakai kepada kelayakan pemberian khas menurut Perkara 112C dan Seksyen 2 Bahagian IV Jadual Kesepuluh serta Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak akan sesekali berkompromi atau menyerahkan hak Sabah seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun mengecam pihak yang menuduh kerajaan negeri melepaskan haknya di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, kedudukan mutlak hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan ini juga terpakai kepada kelayakan pemberian khas menurut Perkara 112C dan Seksyen 2 Bahagian IV Jadual Kesepuluh serta Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, perkara itu secara nyata memperuntukkan formula dan kajian semula 40 peratus kelayakan hasil bersih yang diperoleh kerajaan Persekutuan dari Sabah.

“Perkara ini perlu diperjelaskan secara menyeluruh sebagai tindak balas kepada dakwaan tidak berasas bahawa kerajaan negeri melepaskan haknya berhubung pemberian khas ini.

“Saya boleh nyatakan secara jelas bahawa kerajaan negeri tidak melepaskan mana-mana hak perlembagaannya melibatkan penyelesaian interim yang dibuat pada 2022.

“Sehubungan itu, penerimaan bayaran interim sebanyak RM125.6 juta (peningkatan daripada RM26.7 juta) dinyatakan dengan tegas tanpa menjejaskan semua hak negeri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, secara khasnya, ia tertakluk kepada hak negeri untuk bergantung kepada formula sedia ada dan persetujuan bagi meneruskan rundingan lanjut dengan kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun katanya, berikutan terdapat perbezaan tafsiran dan kuantum, kerajaan negeri bersetuju dan memutuskan untuk tidak bersetuju terhadap formula berkenaan.

“Sebagai syarat lanjut kepada penyelesaian interim itu, kerajaan negeri secara nyata berhak untuk menuntut apa yang patut bagi menjalankan semakan Perlembagaan setiap lima tahun sejak 1974 yang tidak dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan.

“Jika kedua-dua pihak tidak dapat mencapai kata sepakat selepas rundingan dibuat, justeru kita akan merujuk perkara ini kepada Penilai Bebas seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 112D (6) Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

Masidi turut menegaskan bahawa penyusunan Perlembagaan bagi Sabah dinyatakan secara jelas dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan bertarikh 27 Februari 1963.

Katanya, ia adalah penyusunan perkongsian hasil yang dipersetujui di antara Sabah dan Persekutuan yang membawa kepada pembentukan Malaysia pada 1963 dan tiada siapa boleh menafikan fakta sejarah ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan sentiasa mempertahankan hak dalam Perlembagaan Negeri Sabah.

“Kami sedar mengenai perkara yang diperuntukkan dan akan melakukan yang terbaik untuk memenuhi harapan tinggi rakyat Sabah.

“Undang-undang tertinggi negara mesti dihormati dan kami yakin kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan mencapai penyelesaian secepat mungkin dengan adil dan saksama bagi isu yang sekian lama tertangguh ini,” katanya.

TAMAT