Home » Semua parti tempatan wajar bergabung di bawah GRS
Berita GRS Politik

Semua parti tempatan wajar bergabung di bawah GRS

Mazlan berkata, beliau secara peribadi berpendapat tindakan itu juga sebagai langkah awal jika mahu mencontohi Sarawak.

BEAUFORT: Semua parti tempatan Sabah wajar bergabung di bawah payung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada pilihan raya negeri (PRN17) akan datang bagi mewujudkan sebuah kerajaan negeri yang kukuh.

Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Lumadan, Mazlan Joehari Manan berkata, beliau secara peribadi berpendapat tindakan itu juga sebagai langkah awal jika mahu mencontohi Sarawak.

Katanya, persoalan tentang siapa bakal Ketua Menteri perlu diketepikan, sebaliknya yang perlu diutamakan adalah kesepaduan dalam kalangan semua parti tempatan demi mencapai aspirasi rakyat Sabah.

“Ketepikan dulu soal siapa Ketua Menteri jika bergabung dalam GRS kerana parti mana yang menang banyak kerusi nanti (selepas PRN17), pemimpinnya yang akan menerajui pentadbiran Sabah.

“Kalau semua parti tempatan dapat bersatu di bawah GRS, insha-Allah kita akan menjadi sebuah kerajaan kuat sebagaimana Sarawak, seterusnya membantu kerajaan pusat di peringkat persekutuan.

“Kita alu-alukan parti tempatan untuk bersama GRS. Kita boleh berunding, yang penting kita dapat duduk semeja seterusnya berkongsi perjuangan sama,” tegasnya ketika ditemui di Majlis Anugerah SK Pekan Beaufort, di sini, Isnin.

Beliau mengulas kenyataan PKR Sabah baru-baru ini, yang berpendapat gabungan antara parti nasional dan tempatan adalah formula terbaik bagi menjamin kejayaan Sabah.Mazlan yang juga Pegawai Khas Kepada Ketua Menteri berkata, GRS perlu kukuhkan gabungan itu terlebih dahulu sebelum mengadakan kerjasama politik dengan pihak lain pada PRN17.

“Hakikatnya, kerajaan GRS ketika ini bekerjasama dengan parti-parti nasional dalam Pakatan Harapan (PH), termasuk PKR, namun dari segi kerjasama politik (PRN17), belum dimuktamadkan lagi.

“Bagi saya, kukuhkan dulu perpaduan dalam GRS kemudian baru boleh ‘cerita’ siapa rakan gabungan GRS, mungkin potensi menang dengan parti nasional atau sebaliknya.

“Apa pun semua persoalan ini akan dibincang di peringkat kepimpinan GRS kerana yang penting ketika ini adalah pengukuhan dalam rakan komponen GRS yang harus didahulukan,” tegasnya.

–Iskandar Dzulkifli