Home » SMJE catat keuntungan bersih RM259 juta
Berita GRS Politik

SMJE catat keuntungan bersih RM259 juta

TAKLIMAT MEDIA: Dr Dionysia (empat kiri) bersama barisan pengurusan kanan SMJE ketika memberi taklimat kepada media baru-baru ini.

KOTA KINABALU: SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE), syarikat minyak dan gas milik penuh negeri, kini mencatat perkembangan pesat dengan merekodkan prestasi kewangan memberangsangkan.

Sejak penubuhannya pada Disember 2021, SMJE telah menjadi sebuah syarikat bernilai RM5.1 bilion, menggunakan geran RM50 juta daripada kerajaan negeri.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Dionysia Kibat, dalam taklimat kepada media baru-baru ini berkata syarikat keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM259 juta bagi Tahun Kewangan 2023.

Katanya, ia terhasil daripada pelbagai aktiviti perniagaan yang dijalankan.

Pelaburan strategik SMJE setakat ini termasuk kepentingan 50 peratus dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran Samarang (PSC), yang telah menjana RM940 juta daripada jualan minyak mentah dan RM336 juta daripada jualan gas.

“Dengan rizab yang dianggarkan dapat menyokong pengeluaran selama 15 hingga 20 tahun pada tahap semasa, Samarang memainkan peranan penting dalam landskap tenaga Sabah dengan membekalkan gas kepada tiga loji janakuasa di Taman Perindustrian Kota Kinabalu, yang meningkatkan kapasiti tenaga negeri,” katanya.

Beliau berkata syarikat kini akan memberi tumpuan kepada pelaburan dalam aset yang menghasilkan.

“Kami akan pastikan bahawa kami mempunyai aliran tunai yang stabil dan juga memaksimumkan apa sahaja pelaburan yang kami miliki pada masa ini,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Khas Kepada SMJE, Datuk Seri Lim Haw Kuang, berkata syarikat itu memperoleh banyak manfaat daripada Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang ditandatangani antara Sabah dan syarikat minyak negara, Petronas.

Katanya, CCA adalah perjanjian yang mengikat kuat dan memberi kelebihan kepada SMJE dalam perniagaannya, terutamanya dalam mendapatkan pembiayaan.

Beliau berkata kini ramai pelabur sedia menawarkan pinjaman berbanding sebelum ini banyak pihak yang mempertikaikan reputasi SMJE.

Sabah dan Petronas menandatangani CCA pada Disember 2021 untuk membangunkan industri minyak dan gas di negeri ini secara bersama.

SMJE kemudian ditubuh, sekali gus memberikan kerajaan negeri hak perkongsian hasil yang lebih besar dan penyertaan lebih signifikan dalam rantaian nilai minyak dan gas di Sabah. – Utusan Borneo