Home » Syarikat pemaju diminta bina lebih banyak rumah mampu milik
Berita Gagasan Rakyat Politik

Syarikat pemaju diminta bina lebih banyak rumah mampu milik

SERAH: Nizam (empat kanan) dan Eizlan (dua kanan) ketika majlis penyerahan kunci rumah berkenaan.

TAWAU: Kerajaan negeri mengalu-alukan penglibatan syarikat pemaju perumahan supaya menyediakan lebih banyak lagi rumah mampu milik bagi kemudahan penduduk di daerah ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata penglibatan syarikat pemaju dapat membantu kerajaan dalam menyediakan perumahan yang selesa kepada rakyat di sini.

Katanya, ramai lagi penduduk di daerah ini masih mencari sebuah kediaman yang selesa dan mampu milik terutamanya golongan penjawat awam.

“Kerajaan juga turut membantu penjawat awam di negeri ini dengan memberikan subsidi kepada pembeli rumah pertama iaitu sebanyak RM60,000 untuk projek perumahan terpilih.

“Justeru, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan syarikat pemaju supaya lebih banyak lagi projek-projek perumahan mampu milik dibina di daerah ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui dalam majlis penyerahan kunci Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) di Taman Bayan, di sini hari ini.

Nizam berkata, pihaknya menzahirkan tahniah kepada pemaju PPAM di Taman Bayan kerana berjaya menyiapkan projek perumahan ini dengan sempurna.

“Projek ini adalah atas inisiatif kerajaan kerana sebanyak RM60,000 subsidi diberikan kepada setiap penjawat awam yang membeli rumah di sini.

“Saya meminta kepada semua penjawat awam yang belum memiliki aset rumah supaya merebut peluang yang diberikan di PPAM Taman Bayan ini,” katanya.

Sementara itu, wakil syarikat pemaju, Eizlan Yeo berkata, projek perumahan di PPAM Taman Bayan ini telah mendapat kelulusan sijil menduduki dan telah siap sepenuhnya.

Katanya, dengan bantuan subsidi kerajaan sebanyak RM60,000 kepada penjawat awam, ia adalah satu perumahan yang sangat murah dan mampu milik.

“Sebenarnya taman perumahan ini sangat berbaloi dan menjadi rebutan kerana daripada 203 buah unit dibina, kini hanya tinggal 20 unit sahaja yang belum terjual.

“Banyak kemudahan yang disediakan oleh pihak pemaju termasuklah pondok keselamatan dan pengurusan landskap, selain empat buah tangki bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air,” katanya.

Eizlan berkata, perumahan yang tidak jauh daripada bandar Tawau ini mempunyai suasana yang menarik dan segar kerana berhampiran dengan hutan simpan dan bukit.

“Saya mengalu-alukan penjawat awam supaya segera berjumpa dengan kami untuk memiliki rumah yang mampu milik ini,” katanya.

— TAMAT