TAWAU: Usahawan wanita di daerah ini perlu mengambil peluang dengan peruntukan RM100 juta di bawah Skim Geran Pendigitalan PKS (Perusahaan kecil dan sederhana) dan penjaja kecil yang dibentangkan dalam Belanjawan 2023, baru-baru ini.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kerajaan akan memperkasa peranan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) bagi membantu peniaga kecil dengan pengetahuan Teknologi Maklumat (ICT) dan e-Dagang.
Katanya, kerajaan juga akan memastikan terdapat kemudahan PEDi sekurang-kurangnya satu di setiap Dewan Undangan Negeri (1DUN 1PEDi).
“Geran padanan sehingga RM5,000 akan dibayar kepada PKS yang melanggan aplikasi pendigitalan perniagaan seperti sistem jualan POS, perakaunan atau pengurusan inventori.
“Justeru, semua usahawan wanita di daerah ini perlu mengambil peluang yang disediakan kerajaan supaya produk yang mereka pasarkan lebih mudah dan mengikuti perkembangan zaman,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Program Transformasi Wanita Digital (TWD) Sabah, di sini semalam
Menurutnya, melalui PEDi itu juga dapat membantu golongan wanita menjalankan perniagaan sendiri tanpa menyewa premis ataupun bekerja dengan majikan.
Mengulas mengenai TWD pula, Nizam berkata, proram tersebut sangat baik kerana dapat membantu usahawan wanita di daerah ini mengetahui sistem penggunaan digital dalam perniagaan.
“Saya difahamkan seramai 80 usahawan wanita yang hadir mengikuti program ini dan diharapkan semua peserta mampu menguasainya dengan baik.
“Dunia tanpa sempadan memaksa semua rakyat termasuk usahawan untuk lebih peka menggunakan teknologi yang ada agar mampu bersaing dengan orang lain,” katanya.
Sementara itu, beliau memuji komitmen kerajaan kerana mengambil berat soal jaringan internet di negeri Sabah bagi mempercepatkan projek pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
“Saya difahamkan kerajaan akan memperkasakan liputan internet di semua kawasan termasuk bahagian pendalaman dengan sasaran 80 peratus liputan tahun ini,” katanya.
— Hamzah Sanudin
Add Comment