Home » Pencari kerja dinasihat ‘jangan takut berhijrah’
Uncategorized

Pencari kerja dinasihat ‘jangan takut berhijrah’

Masidi berkata, kadangkala, kejayaan hanya boleh didapati di tempat lain dan bukan di tempat sendiri.

KOTA KINABALU: Pencari kerja di Sabah dinasihatkan supaya tidak takut untuk berhijrah ke tempat lain.

Menteri Kewangan Negeri Datuk Seri Masidi Manjun berkata trend sedemikian “berlaku di setiap negara di dunia.”

“Kadangkala, kejayaan hanya boleh didapati di tempat lain dan bukan di tempat sendiri…dan semangat ini (mencari kejayaan) harus ada dalam hati semua rakyat Sabah.

“Ya, anda boleh ke luar negara untuk berjaya dan kembali membantu negeri ini,” katanya selepas menghadiri Konvokesyen Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) Zon Sabah dan Labuan, di sini, Sabtu.

Ditanya sama ada ia akan menyebabkan perhijrahan cendekiawan kepada Sabah, Masidi berkata, beliau “melihatnya dari segi positif.”

“Orang Amerika misalnya, walaupun AS merupakan antara ekonomi terkuat di dunia, masih ada rakyat Amerika yang berhijrah atas pelbagai sebab.

“Contoh lain ialah Norway iaitu antara negara terkaya di dunia tetapi masalah mereka adalah mereka tidak mempunyai penduduk yang mencukupi.

“Walaupun begitu, masih ada warga Norway yang mahu meninggalkan negara atas sebab lain.

“Bagi Malaysia, setiap tahun kita kehilangan rakyat Malaysia kepada Australia, misalnya, malah kepada Singapura.

“Saya fikir ini (penghijrahan) bukanlah sesuatu yang boleh dihentikan oleh mana-mana negara.”

Katanya, penghijrahan secara umumnya berlaku atas dua sebab.

“Pertama, mereka hanya mahukan kehidupan yang lebih baik untuk diri mereka dan keluarga mereka…dan mereka rasa mereka tidak dapat menemuinya di sini.

“Kedua, terdapat faktor lain seperti sosial, dan politik, antara lain. Namun begitu, jika kita melihat mereka yang berhijrah, ramai yang berkata mereka masih mahu pulang ke Malaysia jika ada pilihan.

“Saya melihatnya dengan cukup positif, dan saya tidak melihatnya secara negatif. Bagaimanapun, ini sesuatu yang sangat subjektif – apa yang baik untuk kita mungkin tidak baik untuk orang lain, begitu juga sebaliknya,” katanya. 

— Ricardo Unto