Home » Utamakan kestabilan politik, biar SPRM siasat ‘skandal’, DAP Sabah digesa
Berita GRS Politik

Utamakan kestabilan politik, biar SPRM siasat ‘skandal’, DAP Sabah digesa

Ketua Penerangan GRS Joniston Bangkuai (kiri) menggesa semua parti komponen dalam pentadbiran Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor untuk memfokuskan inisiatif belanjawan negeri 2025.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggesa DAP Sabah memberi keutamaan kepada kestabilan politik negeri, ketika parti itu sedang menilai kedudukannya dalam kerajaan negeri berikutan dakwaan skandal perlombongan.

Ketua Penerangan GRS, Joniston Bangkuai, berkata beliau menghormati hak DAP untuk membuat perbincangan dalaman dan keputusan yang sewajarnya.

“Saya berpandangan bahawa adalah kritikal untuk semua parti dalam kerajaan negeri, termasuk DAP, mengutamakan serta memelihara kestabilan politik sedia ada, terutamanya dalam tempoh yang mencabar ini.

“Memandangkan siasatan terhadap dakwaan rasuah ini masih berjalan, adalah penting untuk kita menumpukan perhatian kepada pelaksanaan inisiatif yang digariskan dalam belanjawan negeri 2025 yang baru diluluskan.

Walaupun prinsip tadbir urus baik dan pentadbiran bersih mesti kekal menjadi keutamaan, memastikan kestabilan politik adalah sama penting untuk kemajuan negeri,” kata Pembantu Menteri negeri itu kepada FMT.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdul Rahman Yakub

Setiausaha politik ketua menteri, Abdul Rahman Yakub pula menggesa DAP Sabah agar tidak meninggalkan kerajaan negeri, terutamanya kerana tiada salah laku yang dikenal pasti setakat ini.

“Tindakan drastik seperti meninggalkan kerajaan negeri sebelum siasatan selesai adalah terburu-buru dan tidak selaras dengan prinsip undang-undang, iaitu anggapan tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah,” katanya.

Rahman juga yakin bahawa DAP dan PKR akan terus menyokong ketua menteri sementara menunggu hasil siasatan terhadap dakwaan tersebut.

Joniston turut menekankan bahawa belanjawan negeri berjumlah RM6.45 bilion, yang terbesar dalam sejarah Sabah, adalah hasil kerja kolektif semua parti dalam pentadbiran Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, termasuk Pakatan Harapan (PH) dan DAP Sabah.

Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah itu juga menyatakan keyakinannya bahawa Hajiji menghargai sokongan PH terhadapnya, terutamanya semasa cubaan oleh Umno Sabah dan Warisan untuk menjatuhkannya sebagai ketua menteri pada Januari 2023.

“Ketua menteri juga sangat selesa bekerjasama dengan PH yang diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dan menghargai hubungan kukuh serta boleh dipercayai antara kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya.

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook

Semalam, DAP memberikan mandat kepada pimpinan DAP Sabah untuk menilai kedudukannya dalam kerajaan negeri berikutan dakwaan skandal yang nampaknya melibatkan beberapa Adun.

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, berkata keputusan sepenuhnya terletak pada DAP Sabah untuk menentukan tindakan selanjutnya.

PKR Sabah turut berpendapat bahawa mana-mana individu yang terlibat dalam rasuah perlu disiasat dan dihukum jika didapati bersalah.

Ketua Penerangan PKR Sabah Razeef Rakimin

Bagaimanapun, Ketua Penerangannya, Razeef Rakimin, berkata Hajiji tidak kelihatan terlibat dalam skandal tersebut.

Razeef sebelum ini berkata kerajaan negeri perlu diberi ruang untuk berfungsi seperti biasa sementara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan.

“Malah, tindakan ketua menteri menghalang individu bermasalah ini (yang mendakwa pemberi maklumat) daripada merompak sumber Sabah seharusnya dihargai.

“Beri ruang secukupnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan tanpa gangguan daripada sesiapa,” katanya kepada FMT.

Sabtu lalu, FMT melaporkan siri video yang mengaitkan beberapa Adun Sabah dengan dakwaan skandal perlombongan dilihat sebagai sebahagian daripada plot diketuai Umno untuk menjatuhkan kerajaan GRS.

Video yang didedahkan oleh individu yang didakwa sebagai pemberi maklumat itu menyebabkan Umno Sabah menuntut Hajiji meletak jawatan sebagai ketua menteri.

Umno Sabah menafikan menjadi dalang dalam pendedahan video tersebut, manakala komponen GRS pula mempertahankan pengerusi gabungan itu di sebalik desakan agar beliau meletak jawatan.

SPRM berkata pihaknya sedang menyiasat pemberi maklumat tersebut yang didakwa memiliki maklumat berkaitan amalan rasuah melibatkan beberapa Adun Sabah berhubung kelulusan lesen penerokaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata individu berkenaan telah memberikan kenyataan kepada agensi itu tetapi enggan menyerahkan bukti yang dikatakan ada dalam simpanannya.

Nicholas Chung