KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Sabah Law Society (SLS) berhubung hak negeri terhadap geran khas 40 peratus daripada Kerajaan Persekutuan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata keputusan tersebut membawa kelegaan dan merupakan satu pengiktirafan penting terhadap hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya di bawah Perkara 112C dan 112D.
“Keputusan ini mengesahkan hak Sabah seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Kami lega dan menyambut baik arahan Mahkamah Tinggi supaya Kerajaan Persekutuan menjalankan semakan semula geran khas dalam tempoh 90 hari bagi tahun-tahun yang terlepas,” katanya dalam satu kenyataan.
Hajiji menegaskan, kemenangan ini turut mengiktiraf peranan penting Kerajaan Negeri Sabah dalam mempertahankan hak perlembagaan negeri secara konsisten melalui saluran rasmi.
Beliau berkata, usaha kerajaan negeri memperjelas rekod sejarah, termasuk “Share of Growth of Federal Revenue Derived from Sabah” dari tahun 1964 hingga 1968, menjadi asas penting dalam menegaskan bahawa niat dan kesan Perkara 112C dan 112D kekal tidak berubah sejak pembentukan Malaysia.
“Penerimaan bayaran interim sebelum ini adalah tanpa menjejaskan hak perlembagaan negeri,” katanya.
Menurut Hajiji, kerajaan negeri telah memperjuangkan isu ini tanpa henti melalui setiap mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri serta menerusi banyak surat rasmi yang dihantar ke Putrajaya.
“Tidak sekali pun kami membiarkan perkara ini terhenti. Dengan keputusan ini, kami berharap Kerajaan Persekutuan akan menunaikan tanggungjawabnya seperti yang telah dipersetujui semasa pembentukan Malaysia,” katanya.
Hajiji menegaskan Kerajaan Negeri akan berunding dengan Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan perintah Mahkamah dalam semangat kerjasama dan saling menghormati, serta memastikan hak perlembagaan Sabah direalisasikan sepenuhnya.
Beliau turut memuji tindakan SLS membawa isu ini ke mahkamah sebagai satu langkah penting berkepentingan awam.
Dalam keputusannya, Hakim Datuk Celestina Stuel Galid turut mengarahkan supaya persetujuan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dicapai dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan, seperti yang ditetapkan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
— TAMAT

























Add Comment