Home » Wanita GRS sokong komitmen Ketua Menteri memperkasa Wanita Sabah
KENYATAAN MEDIA Politik

Wanita GRS sokong komitmen Ketua Menteri memperkasa Wanita Sabah

Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun

𝗪𝗔𝗡𝗜𝗧𝗔 𝗚𝗥𝗦 𝗦𝗢𝗞𝗢𝗡𝗚 𝗞𝗢𝗠𝗜𝗧𝗠𝗘𝗡 𝗞𝗘𝗧𝗨𝗔 𝗠𝗘𝗡𝗧𝗘𝗥𝗜 𝗠𝗘𝗠𝗣𝗘𝗥𝗞𝗔𝗦𝗔 𝗪𝗔𝗡𝗜𝗧𝗔 𝗦𝗔𝗕𝗔𝗛

Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyambut baik dan menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan YAB Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa wanita melalui program-program berkesan yang mampu meningkatkan penglibatan wanita dalam membuat keputusan dan menggubal dasar.

Kenyataan YAB Ketua Menteri sempena majlis angkat sumpah ahli Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) baru-baru ini jelas membuktikan bahawa kerajaan negeri Sabah benar-benar prihatin terhadap pembangunan wanita, bukan sahaja dari sudut kebajikan, malah dari segi pendidikan, ekonomi, kesihatan, undang-undang dan penglibatan dalam bidang politik serta kepimpinan.

Sebagai Ketua Wanita GRS, saya amat menyokong usaha memperluas peluang dan akses kepada wanita Sabah agar mereka bukan sahaja dapat membuat pilihan untuk kehidupan mereka sendiri, tetapi juga menjadi ejen perubahan dalam komuniti dan negeri.

Pemerkasaan wanita sememangnya amat luas dan bukan sekadar agenda pembangunan sosial, malah ia adalah langkah penting ke arah pembangunan negeri yang mampan dan inklusif.

Kami juga mengalu-alukan pelantikan barisan ahli MPWS yang baharu, yang terdiri daripada tokoh-tokoh berpengalaman dari pelbagai latar belakang.

Sesungguhnya wanita adalah kaum yang gigih dan dengan gabungan tenaga profesional, aktivis dan pemimpin komuniti, kita yakin bahawa wanita mampu memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan negeri Sabah secara keseluruhannya.

Wanita GRS juga komited untuk bekerjasama dengan MPWS, Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), serta semua agensi berkaitan dalam menjayakan pelan tindakan memperkasa wanita negeri ini.

Kami sangat percaya, melalui usaha kolaboratif dan strategi yang inklusif, lebih ramai wanita Sabah akan tampil ke hadapan sebagai pemimpin, pencetus inovasi, serta penyumbang aktif kepada pembangunan negeri dan negara, sejajar dengan misi dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Akhir kata, kami menyeru agar semua pihak—baik kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun masyarakat umum untuk turut sama memainkan peranan dalam menyokong agenda pemerkasaan wanita.

Ingatlah bahawa, jika kita bersama bersatu hati, kita pasti mampu membina masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang.

𝐃𝐚𝐭𝐮𝐤 𝐒𝐞𝐫𝐢 𝐏𝐚𝐧𝐠𝐥𝐢𝐦𝐚 𝐀𝐳𝐢𝐳𝐚𝐡 𝐌𝐨𝐡𝐝 𝐃𝐮𝐧,
𝐊𝐞𝐭𝐮𝐚 𝐖𝐚𝐧𝐢𝐭𝐚 𝐆𝐚𝐛𝐮𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐑𝐚𝐤𝐲𝐚𝐭 𝐒𝐚𝐛𝐚𝐡 (𝐆𝐑𝐒),
𝟔 𝐌𝐞𝐢 𝟐𝟎𝟐𝟓

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment