Home » Hajiji bukan pemimpin lemah
Berita GRS Politik

Hajiji bukan pemimpin lemah

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor

TAMPARULI: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tamparuli, Muammar Ghadafi menegaskan bahawa dakwaan konon Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor adalah pemimpin lemah, merupakan satu naratif palsu yang berselindung di sebalik dakyah politik songsang dan fitnah murahan.

“Ini bukan sekadar fitnah biasa, ini propaganda terancang untuk mengelirukan rakyat yang ikhlas mencari kepimpinan sejati,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Sabah agar tidak mudah terpedaya dengan permainan persepsi yang cuba memburukkan imej kepimpinan Hajiji.

“Jika benar Hajiji lemah, sudah pasti beliau tumbang semasa episod politik Langkah Kinabalu. 

“Namun realitinya, beliau kekal berdiri teguh sebagai nakhoda agung yang terus memimpin Sabah menghadapi badai pengkhianatan,” ujarnya.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tamparuli, Muammar Ghadafi

Muammar turut menyindir tindakan Ketua Umno Sabah, Datuk Bung Moktar Radin yang menarik sokongan terhadap Hajiji tetapi akhirnya terperosok dalam kepompong politik yang rapuh.

“Lihat saja Datuk Shahelmey Yahya, Datuk Jasnih Daya, Datuk Arshad Bistari dan pemimpin Umno Sabah lain, mereka memilih untuk bersama Hajiji. Mereka tahu di mana letaknya kekuatan sebenar,” katanya.

Dalam kenyataannya, Muammar juga membidas WARISAN yang terus mempersoalkan kekuatan Hajiji, namun gagal menawan semula tampuk pemerintahan negeri.

Menurut beliau, keupayaan Hajiji menyatukan pelbagai kelompok politik serta mengekalkan kerajaan yang stabil adalah bukti kecekapan dan ketahanan seorang pemimpin yang telah melalui ujian besar berkali-kali.

“Hajiji bukan pemimpin biasa, beliau adalah arkitek kestabilan Sabah dan simbol kematangan politik baharu yang menolak budaya lompat parti dan retorik kosong,” tegas Muammar.

Beliau menasihatkan rakyat supaya menilai kepimpinan berdasarkan fakta, bukan fantasi yang dicipta oleh mereka yang haus kuasa.

“Hajiji bukan lemah, beliau adalah kekuatan yang mengangkat Sabah dari lumpur perpecahan ke mercu kestabilan. Beliau pemimpin luar biasa untuk zaman yang luar biasa,” katanya.

— UB

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment