Home » 1,000 MW tenaga lulus atasi isu bekalan elektrik di Sabah
Berita GRS Politik

1,000 MW tenaga lulus atasi isu bekalan elektrik di Sabah

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima wakala zakat Sabah Electricity kepada golongan asnah daripada Pengerusi Sabah Electricity, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau pada Majlis Seikhlas Budi, Sesuci Ramadan di Dewan Terbuka Kampung Simpangan, Tuaran pada Rabu.

TUARAN: Majlis Tenaga Sabah meluluskan hampir 1,000 megawatt (MW) tenaga elektrik yang akan dijana melalui beberapa projek penjanaan elektrik bagi meningkatkan keperluan tenaga di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, jumlah tenaga itu diluluskan setakat bulan lalu sejajar usaha kerajaan memastikan tiada lagi masalah kekurangan tenaga di negeri ini pada masa depan.

Katanya, langkah itu diambil sejak kerajaan negeri mengambil alih kuasa kawal selia tenaga dari kerajaan Persekutuan bermula pada Januari tahun lalu.

“Kita mendapat kuasa kawal selia tenaga yang diturunkan dari kerajaan Persekutuan pada Januari tahun lalu dan saya selaku Pengerusi Majlis Tenaga Sabah setakat bulan lepas kita meluluskan hampir 1,000 MW tenaga yang bakal dijana.

“Ia termasuk membina hidro elektrik dan juga penggunaan kaedah lain seperti solar serta turbin angin yang sekarang kita luluskan kepada beberapa syarikat tempatan,” katanya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyerahkan sumbangan zakat kepada asnaf pada Majlis Seikhlas Budi, Sesuci Ramadan di Dewan Terbuka Kampung Simpangan, Tuaran pada Rabu.

Beliau berkata demikian pada Majlis Seikhlas Budi, Sesuci Ramadan anjuran Sabah Electricity bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sulaman dan Mukim Indai Tuaran di sini semalam

Hajiji berkata, .jika projek yang dirancang itu dapat dilaksanakan, pengguna di Sabah dijangka tidak lagi berdepan kekurangan bekalan elektrik dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Mengulas lanjut mengenai masalah elektrik di Sabah ketika ini, beliau berkata, walaupun berlaku gangguan, ia tidaklah seteruk gangguan elektrik yang pernah berlaku beberapa tahun lalu.

“Walaupun ada gangguan elektrik, sebenarnya keperluan tenaga sejak beberapa tahun ini cukup tinggi kerana pelabur ramai datang dan mereka perlukan tenaga yang besar.

“Tapi syukur dengan pengurusan Sabah Electricity dan kepimpinan pengerusinya, kita dapat mengatasi masalah ini dan nampak gangguan tidaklah sekerap beberapa tahun dulu,” katanya.

Hajiji yakin masalah bekalan elektrik di Sabah mampu diatasi Sabah Electricity yang berusaha melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan pengguna di negeri ini tidak berdepan gangguan bekalan.

Katanya, ia termasuk pelaksanaan Sistem Simpanan Tenaga Bateri (BESS) yang sedang dibangunkan Sabah Electricity dalam usahanya untuk menambah baik pembekalan tenaga elektrik di negeri ini.

Mengenai utiliti bekalan air, Hajiji sekali lagi mengulangi keyakinannya terhadap usaha yang sedang dilaksanakan kerajaan ketika ini mampu menyelesaikan masalah air pada tahun ini.

Jelasnya, peruntukan RM300 juta yang disalurkan kerajaan Persekutuan sebelum ini sedang dimanfaatkan untuk melaksanakan projek peningkatan kapasiti loji rawatan air (LRA) di seluruh negeri.

“Bagi di Tuaran saja, LRA Telibong Satu dan Telibong Dua sudah siap dan mampu menjana sehingga 160 juta liter sehari (JLS) air bersih untuk kegunaan pengguna di Tuaran dan Kota Kinabalu.

“Sekarang ini hanya menunggu projek pemasangan paip dari loji di Telibong ke Kota Kinabalu dan saya dimaklumkan oleh Menteri Kerja Raya bahawa projek itu dijangka siap pada Jun depan.

“Apabila siap nanti, kita percaya tiada lagi masalah kekurangan bekalan air khususnya di Tuaran, Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), sebahagian kawasan Kota Kinabalu, termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS),” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan zakat kepada seramai 878 asnaf.

Daripada jumlah itu, seramai 500 orang menerima sumbangan daripada Sabah Electricity dan 378 orang lagi menerima sumbangan peribadi daripada Hajiji.

Sementara itu, Masjid At-Taqwa Kampung Simpangan menerima sumbangan zakat sebanyak RM5,000 daripada Sabah Electricity.

Turut hadir Pengerusi Sabah Electricity, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai dan Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Mohd Yaakob Jaafar.

— TAMAT