KUALA LUMPUR: Seramai 13,550 pelajar Sabah menerima manfaat daripada tajaan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) sejak 2021 hingga 2024.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, atas komitmen terhadap bantuan pendidikan kepada anak-anak Sabah, kerajaan negeri terus menambah dana untuk BKNS sehingga mencatat jumlah tertinggi iaitu RM128 juta pada tahun ini, peningkatan sebanyak 150 peratus berbanding 2020.

“Sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan pada bulan Oktober 2020, peruntukan untuk dana BKNS terus ditambah daripada RM50 juta pada 2020, meningkat kepada RM55 juta pada 2021, seterusnya RM101 juta pada 2023 dan RM113 juta pada 2024,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa-Mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Bersama Ketua Menteri di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd.Arif, yang juga Exco Pendidikan dan Agama.
Hajiji berkata, Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang dilancarnya pada 2022 memberi manfaat kepada seramai 7,483 pelajar daripada golongan B40 yang tidak mendapat tajaan daripada mana-mana penaja, melibatkan peruntukan sebanyak RM8.6 juta.
Menurutnya, bagi memperkasa lagi bantuan pendidikan, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan akan diteruskan pada tahun ini, selain ditambah baik untuk membantu pelajar secara keseluruhannya.
Antaranya ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) sebanyak RM2,000 kepada pelajar peringkat ijazah dan RM1,500 kepada pelajar di peringkat diploma atau matrikulasi.
Bantuan Khas Peperiksaan (BAKTI) iaitu RM200 kepada pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), selain Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) dan subsidi Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (SUBFLY) kepada semua pelajar IPT awam dan swasta yang menuntut di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah (YS) berkata, Kumpulan YS secara berterusan menawarkan pelbagai jenis tajaan membantu pelajar Sabah seperti Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah, Biasiswa Cemerlang Pelajar Luar Bandar, Biasiswa IPTA, Biasiswa IPTS, Dermasiswa dan Pinjaman Pengajian Tinggi.
“Komitmen Kumpulan YS terhadap pembangunan pendidikan di Sabah dapat dilihat apabila dana untuk pendidikan meningkat sebanyak 86.38 perarus kepada RM67.17 juta pada 2024 berbanding RM36.04 juta pada 2021.
“Ini membolehkan seramai 3,234 pelajar mendapat manfaat tajaan pendidikan Kumpulan YS pada 2024,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri menerusi Kumpulan YS juga menyediakan prasarana pendidikan melalui Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF) yang memberi manfaat peluang pengajian pendidikan kepada ribuan anak Sabah sejak ditubuhkan.
Beliau berkata, usaha sama antara badan-badan penaja di negeri ini juga dipergiatkan melalui Portal Pendidikan Negeri Sabah (PTPS) yang dilancarnya tahun lalu.
Katanya, ia bagi memudahkan anak-anak Sabah memohon tajaan pendidikan, yang turut melibatkan badan penaja lain seperti Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) dan Yayasan Kebajikan Sabah (YKS).
Hajiji berkata, dalam aspek modal insan dibawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), antara inisiatif yang diperkenalkan kerajaan ialah Felo SMJ dan Dewan Belia Sabah yang bermatlamat memperkasakan bakat dan keupayaan anak muda Sabah, di samping mengetengahkan kepimpinan baharu di negeri ini.
“Kerajaan negeri juga menyediakan pelbagai platform untuk pelajar menyuarakan pandangan, antaranya Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) yang sehingga kini berjaya mengumpulkan pemimpin-pemimpin pelajar Sabah dari seluruh IPT awam dan swasta, Institut Pendidikan Guru (IPG), institut latihan termasuk tingkatan enam.
“Kerajaan juga menubuhkan Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA) sebagai pengiktirafan kepada anak-anak muda,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif yang diperkenalkan dan dilaksanakan itu menunjukkan betapa kerajaan negeri prihatin dan peka terhadap keperluan anak-anak Sabah demi memastikan mereka sentiasa terbela.
“Kepada anak-anak semua sampaikan salam takzim saya kepada ibu-bapa kalian. Insya-Allah kebajikan pelajar Sabah akan sentiasa diberikan keutamaan oleh kepimpinan negeri, dalam kita melangkah maju ke hadapan mencapai aspirasi Sabah Maju Jaya,” katanya yang turut mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua mahasiswa-mahasiswi Sabah.
— Tamat
Add Comment