KOTA KINABALU: Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah mencatat kejayaan membanggakan apabila berjaya melaksanakan 11 daripada 12 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi tahun 2024 dengan pencapaian keseluruhan 92 peratus.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata pencapaian itu membuktikan komitmen tinggi warga jabatan dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Contohnya, kutipan hasil tanah tahun lalu melepasi sasaran RM281 juta dengan pungutan RM290.87 juta atau 104 peratus. Begitu juga permohonan tanah, di mana 55,670 permohonan berjaya diproses berbanding sasaran 45,000. Pengukuran Tanah Adat Anak Negeri (NCR) pula mencapai 17,701.50 hektar berbanding 15,000 hektar yang disasarkan,” katanya ketika merasmikan Majlis Apresiasi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 JTU di Sabah International Convention Centre (SICC), Isnin.
Hajiji turut menekankan kejayaan JTU mewartakan 82 tapak simpanan kampung berbanding sasaran 80, selain memperkenalkan tiga sistem baharu dalam talian iaitu Sistem Perlanjutan Lesen Pendudukan Sementara (TOL), Sistem Penguatkuasaan Tanah dan Aplikasi 3D Building.
PANTAS Kekal Agenda Utama
Ketua Menteri berkata, Program Pengukuran Tanah Adat Anak Negeri Sabah (PANTAS) kekal menjadi agenda utama kerajaan dalam menjamin hak pemilikan tanah bumiputera.
“Sejak 2011, Kerajaan Persekutuan menyalurkan RM251.34 juta melalui ICU Jabatan Perdana Menteri. Sehingga Jun 2025, sebanyak 488,705 ekar melibatkan 70,436 lot tanah adat telah berjaya diukur,” katanya.
Beliau menambah, pelancaran Galeri Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) akan menjadi simbol dedikasi jabatan itu serta pusat rujukan generasi akan datang.
Apresiasi Perkhidmatan
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 dan mengingatkan mereka supaya menjadikan pengiktirafan itu sebagai dorongan untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan awam.
“Budaya kerja kreatif dan inovatif perlu dipupuk bagi memastikan sistem penyampaian lebih mantap. Komitmen berterusan amat penting supaya Sabah terus maju seiring dengan Hala Tuju SMJ,” katanya.
— TAMAT

























Add Comment