TONGOD: Empat parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Kuamut kini berada pada tahap persiapan akhir bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) dengan misi mempertahankan kerusi serta menambah majoriti kemenangan.
Pengerusi GRS Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan USNO sudah melengkapkan jentera masing-masing di semua peringkat.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut menegaskan gerak kerja parti sudah lama digerakkan, bukan sekadar bergantung kepada laporan Sekretariat War Room.
“Misi kita adalah mempertahankan kerusi GRS di Kuamut dengan majoriti lebih besar. Gerak kerja jentera telah berjalan berterusan sejak tiga tahun lalu,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri taklimat agen pusat mengundi dan agen pengiraan undi di Dewan Simpang Entilibon, kelmarin.
Persiapan Jentera
Masiung yang juga Naib Presiden Gagasan Rakyat berkata, jawatankuasa bersama dibentuk di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) untuk memastikan persiapan kempen lebih teratur.
Seramai 300 ahli jentera utama GRS hadir pada sesi taklimat berkenaan, dan mereka turut berikrar memberikan sokongan penuh kepada calon GRS yang akan diumumkan kelak.
Turut hadir ialah Pengarah Sekretariat Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Abdul Kassim Razali, bersama delegasi pegawai latihan dan penceramah dari Kota Kinabalu.
Sokongan Komponen
Selain itu, Ketua Bahagian komponen GRS Kuamut turut hadir memberi sokongan, termasuk Mandik Yadam (STAR), James Aik (USNO) dan Dusin Janis (PBS).
Masiung berkata, kehadiran dan kerjasama erat semua komponen membuktikan kesiapsiagaan GRS Kuamut menghadapi PRN-17, sekali gus memperkukuh keyakinan untuk mempertahankan kerusi kawasan itu.
— TAMAT

























Add Comment