KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, menggesa Kerajaan Persekutuan supaya segera menangani dua isu asas yang sekian lama membelenggu Sabah, iaitu penambahan kerusi Parlimen secara adil serta pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada negeri itu.
Berucap ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja di Dewan Rakyat, beliau berkata ketidakseimbangan perwakilan Parlimen dan kegagalan menunaikan hak kewangan Sabah telah menjejaskan keyakinan rakyat terhadap komitmen Persekutuan dalam menghormati semangat pembentukan Malaysia.
Menurut Jonathan, kedudukan Sabah dan Sarawak di Parlimen semakin terhakis sejak pemisahan Singapura pada tahun 1965, sekali gus menyebabkan kedua-dua wilayah itu kehilangan kuasa semak dan imbang yang penting dalam mempertahankan hak perlembagaan mereka.
“Apabila Akta Pembangunan Petroleum 1974 diluluskan, Sabah dan Sarawak tidak lagi memiliki satu pertiga perwakilan di Parlimen untuk mempertahankan kepentingan rakyat.
“Keadaan ini berpunca daripada kegagalan mengembalikan perwakilan yang seimbang seperti yang dijanjikan semasa pembentukan Malaysia,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan asas kepada dakwaan bahawa sumber minyak dan gas di Sabah serta Sarawak telah diserahkan sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan.
“Ketika Malaysia dibentuk pada 1963, tidak pernah ada perbincangan yang menyatakan bahawa minyak di Sabah dan Sarawak diserahkan untuk dieksploitasi sepenuhnya oleh Persekutuan.
“Jika benar perkara itu pernah dipersetujui, tunjukkan minit mesyuarat dan siapa pemimpin Sabah atau Sarawak yang bersetuju. Setakat yang saya maklum, perkara itu tidak pernah berlaku,” katanya.
Jonathan berkata, berdasarkan laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan Antara Kerajaan (IGC) serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), hal ehwal tanah dan sumber semula jadi berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri pada ketika itu.
“Namun sehingga hari ini, seolah-olah minyak dan gas dianggap sebagai hasil yang dikawal sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan, sedangkan perkara ini tidak pernah dimuktamadkan dalam persetujuan asal pembentukan negara,” katanya.
Dalam perbahasan sama, beliau turut menegaskan keperluan supaya penambahan kerusi Parlimen pada masa hadapan dilaksanakan secara serentak dan seimbang antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung, dengan jaminan formula satu pertiga perwakilan dikembalikan bagi mengelakkan penghakisan kuasa secara berterusan.
Jonathan turut membangkitkan kegagalan Kerajaan Persekutuan menunaikan tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah, meskipun perkara itu diperuntukkan dalam Perlembagaan dan telah dibincangkan sejak lebih enam dekad lalu.
“Ini bukan isu baharu. Lebih 60 tahun berlalu, namun hak 40 peratus Sabah masih belum dilaksanakan sepenuhnya.
“Sehingga kini, jumlah sebenar hasil yang diperoleh daripada Sabah juga tidak pernah didedahkan secara telus kepada rakyat,” katanya.
Menurut beliau, kegagalan melaksanakan tuntutan itu memberi kesan langsung kepada keupayaan kerajaan negeri membiayai pembangunan asas, khususnya di kawasan luar bandar yang luas dan mencabar seperti Ranau.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa tuntutan hak Sabah bersifat hasutan, sebaliknya menegaskan ia berpunca daripada janji yang tidak ditunaikan.
“Kami bukan menghasut. Kami hanya menuntut apa yang telah dipersetujui.
“Kekecewaan rakyat lahir kerana janji itu tidak ditunaikan, bukan kerana sentimen politik,” tegasnya.
Sehubungan itu, Jonathan menggesa Kerajaan Persekutuan menetapkan garis masa yang jelas bagi pelaksanaan tuntutan 40 peratus serta meningkatkan peruntukan pembangunan kepada Sabah ke tahap yang lebih adil dan setimpal.
“Jika benar hasrat untuk membangunkan Sabah dan Sarawak, buktikan dengan tindakan. “Berikan peruntukan yang munasabah supaya kami dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.
–TAMAT

























Add Comment