KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yakin peranan strategik anak muda mampu menjadi pemacu utama kejayaan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, sekali gus memastikan agenda pembangunan negeri benar-benar memberi manfaat kepada rakyat di peringkat akar umbi.
Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim, berkata keyakinan itu diterjemahkan menerusi pengukuhan gerak kerja Pemuda, penglibatan aktif dalam perbincangan dasar serta pelaksanaan agenda kesukarelawanan yang berteraskan keperluan sebenar rakyat.
Menurutnya, antara keputusan utama Mesyuarat Pimpinan Pemuda Gagasan Rakyat Bilangan 1 Tahun 2026 ialah penubuhan Sekretariat GAHMUDA (Gagah Muda) sebagai platform kesukarelawanan anak muda yang dijangka dilancarkan selepas Aidilfitri.

“GAHMUDA akan menjadi pasukan sukarelawan Pemuda Gagasan Rakyat yang berfungsi membantu masyarakat tanpa mengira latar belakang politik.
“Ia terbuka bukan sahaja kepada ahli Pemuda parti, tetapi juga golongan muda bukan partisan yang ingin menyumbang kepada masyarakat,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di Ibu Pejabat Parti Gagasan Rakyat Sabah, di sini, hari ini.
Azrul yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah berkata sekretariat itu akan menjadi barisan hadapan dalam aktiviti kemasyarakatan dan pengurusan kecemasan.
“Kita mahu GAHMUDA berperanan ketika bencana seperti banjir dan kebakaran, selain membantu urusan masyarakat termasuk kebajikan, gotong-royong dan pengurusan jenazah.
“Ini adalah usaha membudayakan semangat kebersamaan dan sukarelawan dalam kalangan anak muda Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Pemuda Gagasan Rakyat menetapkan isu bekalan air, elektrik dan jalan raya sebagai teras utama gerak kerja sepanjang penggal ini.
Menurutnya, tiga isu berkenaan merupakan isu legasi yang telah lama dirasai rakyat Sabah dan memerlukan pendekatan lebih proaktif melalui pemantauan berterusan di peringkat lapangan.
“Pemuda Gagasan Rakyat akan turun ke kawasan, melaksanakan sesi libat urus serta memantau pelaksanaan projek infrastruktur rakyat secara lebih dekat.
“Budaya kerja baharu ini penting supaya suara rakyat dapat disampaikan secara tepat kepada kerajaan,” katanya.
Azrul berkata pendekatan itu selari dengan komitmen Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor untuk menoktahkan isu asas rakyat dalam tempoh lima tahun penggal kedua pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa kestabilan politik semasa memberi ruang kepada kerajaan negeri melaksanakan perancangan strategik secara lebih menyeluruh dan berkesan.
“Rakyat sudah terlalu lama menunggu penyelesaian isu ini. Dengan kestabilan yang ada, kita yakin bekalan air dan elektrik akan lebih stabil, manakala jaringan jalan raya akan terus dipertingkatkan,” katanya.
Mengulas pelancaran SMJ 2.0, Azrul berkata Pemuda Gagasan Rakyat menyokong sepenuhnya pelan pembangunan baharu itu yang bakal dilancarkan secara rasmi oleh Ketua Menteri pada 30 Januari ini.
Menurutnya, SMJ 2.0 memberi penekanan kepada kesinambungan pembangunan, lonjakan ekonomi serta dasar yang berpaksikan keperluan rakyat bandar dan luar bandar.
“SMJ 2.0 bukan sekadar pelan, tetapi hala tuju masa depan Sabah. Pemuda mahu memastikan pelaksanaannya difahami, disokong dan dirasai rakyat,” katanya.
Dalam konteks pembangunan modal insan, Azrul berkata Pemuda Gagasan Rakyat akan memperkukuh kerjasama dengan pimpinan pelajar dan mahasiswa melalui jaringan sedia ada termasuk Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) yang ditubuhkan sejak empat tahun lalu.
“MPPS menjadi platform penting menghimpunkan mahasiswa dalam dan luar negeri bagi menyuarakan aspirasi serta idea anak muda,” katanya.
Beliau berkata antara hasil libat urus MPPS sebelum ini termasuk pelaksanaan subsidi pengangkutan pelajar Sabah serta Program Destini SMJ Anak Muda Sabah di institusi pengajian tinggi.
Menurutnya, Pemuda Gagasan Rakyat juga menyokong usaha kerajaan negeri mempertimbangkan pendidikan percuma di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri, termasuk Universiti College Sabah Foundation (UCSF) dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS).
Sebagai usaha memperkukuh kefahaman terhadap dasar kerajaan, Azrul memaklumkan Pemuda Gagasan Rakyat akan merintis penganjuran Simposium SMJ sebagai medan perbincangan idea, cadangan serta penambahbaikan dasar.
Katanya, simposium itu akan melibatkan kerjasama Pemuda parti-parti komponen GRS, sayap wanita serta beliawanis, dengan fokus kepada isu infrastruktur, pendidikan, kebajikan dan penerokaan ekonomi biru.
“Ekonomi biru masih baharu kepada sebahagian anak muda. Melalui forum ini, kita mahu dasar kerajaan dibincangkan secara terbuka supaya difahami dan dimaknai oleh rakyat,” katanya.
–TAMAT

























Add Comment