KOTA KINABALU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mencadangkan agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan langkah merujuk isu tafsiran Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berkaitan pemilikan serta kawal selia sumber minyak dan gas ke mahkamah bagi mendapatkan keputusan muktamad berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Penerangan Pemuda Gagasan Rakyat, Barhul Sahibu, berkata tindakan itu merupakan pendekatan berprinsip dan wajar dipertimbangkan sekiranya Kerajaan Persekutuan terus berpegang bahawa isu minyak dan gas sepenuhnya berada di luar ruang lingkup MA63 serta tertakluk secara mutlak kepada undang-undang Persekutuan.
Menurutnya, perkara berkenaan tidak seharusnya terus bergantung kepada tafsiran sepihak atau kenyataan politik semata-mata, sebaliknya perlu ditentukan melalui proses perundangan yang sah dan telus.

“Isu ini perlu diputuskan secara muktamad oleh mahkamah agar wujud kepastian undang-undang yang jelas.
“Ia bukan sahaja penting dari sudut perlembagaan, malah bagi mengelakkan kekeliruan dan polemik berpanjangan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Cadangan itu dikemukakan susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) yang menyatakan bahawa MA63 tidak memperuntukkan sebarang perkara berkaitan pemilikan atau kawal selia sumber petroleum.
Menurut Barhul, kenyataan berkenaan menimbulkan persoalan besar dari sudut tafsiran Perlembagaan serta semangat asal pembentukan Malaysia.
Beliau berkata, walaupun MA63 tidak menyebut secara literal mengenai petroleum, dokumen itu tidak boleh ditafsir secara sempit kerana ia merupakan asas kepada pembentukan Persekutuan Malaysia yang memperuntukkan kedudukan, hak serta kepentingan Sabah dan Sarawak sebagai rakan pembentuk negara.
“MA63 perlu difahami secara menyeluruh, bukan sekadar berdasarkan peruntukan bertulis, tetapi juga melalui semangat, niat serta jaminan yang menjadi asas penyertaan Sabah dalam Malaysia,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang undang-undang Persekutuan yang digubal selepas tahun 1963, termasuk Akta Pembangunan Petroleum 1974, tidak seharusnya digunakan sehingga menafikan, mengecilkan atau menghakis hak serta autonomi negeri yang dijamin ketika pembentukan Malaysia.
Menurutnya, kepastian undang-undang amat penting bukan sahaja bagi mempertahankan hak perlembagaan Sabah, malah bagi memastikan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri terus kekal sihat, stabil serta berasaskan prinsip rakan setara seperti yang termaktub dalam MA63.
“Ini bukan soal emosi atau retorik politik, sebaliknya soal kedaulatan undang-undang dan keadilan kepada Sabah sebagai rakan pembentuk Persekutuan,” katanya.
–TAMAT

























Add Comment