KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) memberi jaminan akan mengambil tindakan tegas bagi memastikan masalah capaian internet di sekolah-sekolah seluruh Sabah dapat diselesaikan, susulan banyak aduan berkaitan kelewatan pelaksanaan projek penyediaan perkhidmatan internet oleh pihak YTL.
Menterinya, Datuk James Ratib berkata, kelewatan berkenaan memberi kesan langsung terhadap proses pengajaran dan pembelajaran serta agenda pendigitalan pendidikan, khususnya melibatkan 736 buah sekolah yang menggunakan teknologi fiber Point-of-Presence (PoP).
“Kerajaan Negeri memandang serius isu ini kerana akses internet yang stabil dan berkualiti adalah keperluan asas dalam sistem pendidikan masa kini. Ia penting bagi menyokong pembelajaran digital dan pengurusan sekolah yang lebih cekap,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Menurut beliau, antara isu utama dikenal pasti termasuk kualiti perkhidmatan internet yang tidak mencapai tahap dijanjikan, respons lambat terhadap aduan sekolah, kelewatan pemasangan infrastruktur PoP walaupun lokasi telah dikenal pasti, serta keadaan PoP yang belum boleh digunakan walaupun disenaraikan sebagai siap.
Selain itu, sebahagian sekolah masih bergantung kepada menara 1BestariNet yang menyebabkan capaian internet tidak konsisten.
Sehubungan itu, James menegaskan Kerajaan Negeri akan menilai semula prestasi YTL secara menyeluruh, meliputi pematuhan garis masa pelaksanaan, kualiti perkhidmatan serta kecekapan pengurusan dan tindak balas terhadap aduan, terutama di sekolah luar bandar dan pedalaman.
“Sekiranya terdapat bukti sahih kelewatan atau kegagalan pelaksanaan, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak untuk menamatkan lantikan berkenaan demi kepentingan murid, guru dan kelangsungan sistem pendidikan negeri,” tegasnya.
Beliau menambah, KPSTI kekal komited memastikan setiap sekolah di Sabah mendapat akses internet yang stabil, berkualiti dan berkesan selaras dengan aspirasi memperkukuh pendidikan berteraskan sains, teknologi dan inovasi.
–TAMAT

























Add Comment