KOTA KINABALU: Pembangkang disaran supaya tidak terus mempolitikkan isu pelantikan Pengerusi Sabah Development Berhad (SDB) yang baharu, Datuk Dr Yusof Yacob, selagi tiada sebarang keputusan mahkamah yang mensabitkan beliau dengan kesalahan jenayah.
Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah, berkata kritikan berterusan terhadap pelantikan itu adalah tidak relevan dari sudut perundangan dan bersifat pramatang.
Menurutnya, walaupun terdapat dakwaan bahawa Yusof berdepan kes rasuah, perkara itu masih dalam proses perbicaraan dan belum ada sebarang keputusan mahkamah yang muktamad.
“Dalam sebuah negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang, prinsip asas yang perlu dihormati ialah seseorang itu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Selagi tiada sabitan dan hukuman, adalah tidak wajar pembangkang menjatuhkan hukuman lebih awal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aksyah berkata pembangkang seharusnya bersikap lebih adil dan berfakta apabila isu melibatkan pemimpin GRS, khususnya dalam soal pelantikan ke jawatan strategik kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Beliau turut merujuk rekod perkhidmatan Yusof ketika menerajui Qhazanah Sabah, yang menurutnya menunjukkan keupayaan kepimpinan serta tahap integriti yang baik.
“Sepanjang beliau menjadi Pengerusi Qhazanah Sabah, tidak timbul sebarang isu pecah amanah atau salah guna kuasa yang menjejaskan operasi syarikat. Malah, Qhazanah terus beroperasi dengan baik sehingga hari ini,” katanya.
Sehubungan itu, Aksyah menyifatkan tuduhan pembangkang sebagai tidak berasas, memandangkan individu yang dituduh sendiri telah mengaku tidak bersalah di mahkamah dan perbicaraan masih berjalan.
“Adalah terlalu awal untuk menghukum beliau sedangkan pelantikan sebagai Pengerusi SDB masih baharu. Pelantikan ini tidak wajar dilabel sebagai satu kesilapan, apatah lagi jika mengambil kira rekod perkhidmatan beliau sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, Aksyah mengingatkan pembangkang supaya memainkan peranan sebenar sebagai pihak semak dan imbang secara berfakta dan bertanggungjawab, bukannya menolak setiap keputusan yang dibuat oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan GRS Plus masih berada pada fasa awal pentadbiran, memandangkan Januari 2026 menandakan tahun pertama kerajaan itu memerintah.
“Berilah peluang kepada Yusof untuk membuktikan keupayaannya sebagai Pengerusi SDB. Apa yang rakyat Sabah harapkan ialah prestasi, sumbangan dan hasil yang memberi manfaat kepada negeri, bukannya polemik politik yang berpanjangan,” katanya.
–TAMAT

























Add Comment