KENINGAU: Ketua Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Pusat Daerah Mengundi (PDM) Keningau Station Bingkor, Yazid Mohd Hasnan Tawik, menyatakan sokongan penuh terhadap saranan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, agar semua Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) memainkan peranan lebih proaktif dalam menyampaikan pencapaian, dasar serta inisiatif Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kepada rakyat di kawasan masing-masing.
Beliau berkata, PPM merupakan antara jentera terpenting kerajaan di peringkat akar umbi kerana berfungsi sebagai penghubung langsung antara pentadbiran kerajaan dan masyarakat, khususnya dalam menyampaikan maklumat yang tepat berkaitan dasar, program serta bantuan yang dilaksanakan kerajaan negeri.
“PPM bukan sekadar penyampai maklumat, sebaliknya suara kerajaan di peringkat komuniti. Justeru, setiap PPM perlu melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan penuh kejujuran, ketulusan dan integriti bagi memastikan rakyat benar-benar memahami hala tuju serta usaha kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kefahaman rakyat terhadap dasar dan pencapaian kerajaan amat penting bagi menangkis salah faham, fitnah serta maklumat tidak tepat yang boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap pentadbiran sedia ada.
Yazid berkata, pelantikan PPM bukan suatu keistimewaan atau jawatan simbolik, sebaliknya satu amanah besar yang menuntut komitmen tinggi, disiplin dan profesionalisme dalam melaksanakan tanggungjawab demi kepentingan rakyat serta pembangunan negeri.
“PPM perlu turun padang, mendengar denyut nadi rakyat, memahami masalah sebenar di peringkat akar umbi dan seterusnya menyalurkan maklumat serta maklum balas kepada pihak kerajaan supaya setiap dasar yang dirangka benar-benar memenuhi keperluan rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada semua PPM yang dilantik oleh Ketua Menteri dan berharap mereka dapat memainkan peranan secara berkesan serta bertanggungjawab dalam menyokong agenda pembangunan negeri selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.
Dalam pada itu, Yazid menegaskan semua PPM yang dilantik perlu memberikan sokongan padu kepada Ketua Menteri dan Kerajaan GRS bagi memastikan kestabilan politik serta kelangsungan pentadbiran negeri.
Menurutnya, kestabilan politik merupakan prasyarat utama kepada kejayaan pelaksanaan dasar dan program pembangunan, khususnya dalam memperkukuh ekonomi negeri, mempercepat pembangunan infrastruktur dan meningkatkan kesejahteraan rakyat, terutama di kawasan luar bandar. Tambahnya, dengan kerjasama erat antara PPM, kepimpinan kerajaan dan seluruh jentera GRS, usaha memperkasa pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan menyeluruh, sekali gus memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat di Sabah.
–TAMAT

























Add Comment