KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sindumin mendakwa Ketua Pemuda DAP Sabah, Cham Loong Wei, tidak konsisten apabila mempersoalkan pelantikan Datuk Dr Yusof Yacob sebagai Pengerusi Sabah Development Berhad (SDB).
Ketua Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat Sindumin, Walter @ Fikrie Antahar, berkata kenyataan yang dikeluarkan Pemuda DAP Sabah itu bersifat spekulatif serta mencerminkan pendekatan politik berasaskan persepsi, bukannya fakta.
Menurutnya, pendirian tersebut bercanggah dengan pendekatan yang pernah dipertahankan pimpinan DAP semasa era Kerajaan Pakatan Harapan 1.0, khususnya dalam mempertahankan pelantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan ketika berdepan pertuduhan di mahkamah pada waktu itu.
“Ketika itu, prinsip menghormati proses kehakiman dijadikan hujah utama. Namun hari ini, prinsip yang sama seolah-olah diketepikan apabila melibatkan pelantikan di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Walter @ Fikrie berkata pendekatan sedemikian menimbulkan persoalan sama ada kritikan yang dibuat benar-benar berasaskan prinsip atau sekadar dipengaruhi kepentingan politik semasa.
Beliau turut berpandangan bahawa politik berasaskan sentimen dan persepsi bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah berpotensi menjejaskan keyakinan terhadap institusi awam serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak, khususnya sayap pemuda parti politik, supaya mengamalkan pendekatan kritikan yang konsisten, berfakta dan berprinsip demi kepentingan rakyat serta kestabilan pembangunan Sabah.
–TAMAT

























Add Comment