Home » Buli & fitnah media sosial ancaman perpaduan :Hajiji
Berita GRS Politik

Buli & fitnah media sosial ancaman perpaduan :Hajiji

Hajiji menerima resolusi persidangan yang diserahkan oleh Presiden USIA, Datuk Sapawi Ahmad, pada majlis berkenaan.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan budaya buli yang semakin berleluasa di sekolah dan pusat pengajian, termasuk sekolah agama, perlu dipandang serius dan segera dibendung.

Katanya, beliau secara peribadi amat kecewa dan sedih dengan insiden membabitkan pelajar sehingga ada yang mengorbankan nyawa.

“Lebih mengecewakan apabila budaya buli berlaku di institusi agama. Masyarakat dan saya sendiri ingin tahu bagaimana perkara ini boleh wujud dalam sebuah institusi yang melambangkan kesucian Islam,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Du’at di sini, hari ini.

Muhasabah & Peranan Konvensyen

Menurut Hajiji, konvensyen hal ehwal Islam adalah platform terbaik untuk bermuhasabah, menilai kelemahan dan memperbaiki kekurangan dalam institusi pendidikan, organisasi kerajaan mahupun swasta.

Beliau turut menyentuh cabaran teknologi maklumat yang semakin pesat, khususnya penyebaran berita palsu dan fitnah di media sosial yang sering dimanipulasi pihak anti-kerajaan untuk menjatuhkan maruah pemimpin menjelang pilihan raya.

“Selain politik, isu ekonomi, keselamatan, kesihatan, alam sekitar dan 3R (kaum, agama, institusi diraja) turut disensasikan. Malah insiden tragis termasuk kes buli di sekolah dijadikan bahan fitnah oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Cabaran Teknologi & AI

Hajiji berkata, kemunculan aplikasi kecerdasan buatan (AI) memberi manfaat dalam dunia moden, namun jika disalahguna boleh menjadi ancaman besar, termasuk menghasilkan kandungan palsu yang menggugat kestabilan masyarakat dan umat Islam.

“Harus diingat, dunia digital sentiasa berkembang pesat. Kebimbangan utama ialah generasi muda sebagai pewaris masa depan. Mereka lebih terdedah kepada pengaruh luar jika tiada bimbingan,” jelasnya.

Peranan Masyarakat

Katanya, di sinilah pentingnya peranan ibu bapa, guru, pendakwah dan pemimpin masyarakat sebagai pembimbing dan benteng generasi akan datang.

“Tugas mendidik dan membentuk masyarakat adalah satu fardhu kifayah yang besar ganjarannya. Ia mesti dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan kasih sayang demi bangsa dan negara,” katanya.

— TAMAT