KOTA KINABALU:Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Inanam Datuk Dr. Roland Chia Ming Shen, menegaskan bahawa dakwaan wakil rakyat dari Parti Warisan Justin Wong kononnya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) gagal mengurus ekonomi adalah tidak tepat dan hanya bertujuan mengelirukan rakyat.
Beliau yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri berkata, rekod jelas menunjukkan era pentadbiran Parti Warisan (2018–2020) adalah tempoh paling buruk dalam sejarah moden Sabah. Pada 2019, saiz ekonomi negeri bernilai RM85.6 bilion, namun merosot kepada hanya RM77.8 bilion pada 2020 – penyusutan hampir RM8 bilion dalam tempoh setahun dengan pertumbuhan negatif -9.1 peratus.
“Itu ‘rekod cemerlang’ Warisan yang mereka mahu rakyat lupakan. Hakikatnya, ekonomi negeri jatuh teruk di bawah Shafie Apdal,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Pertumbuhan Konsisten
Roland menjelaskan, selepas GRS mengambil alih, ekonomi Sabah beransur pulih dengan pertumbuhan positif setiap tahun sejak 2021. Bermula dengan +1.5 peratus (2021), diikuti +3.9 peratus (2022), +1.3 peratus (2023) dan +1.1 peratus (2024), saiz ekonomi negeri kini kembali meningkat kepada RM84.3 bilion.
“Ini bukti pemulihan berterusan, bukan merudum seperti yang digambarkan pembangkang,” katanya.
Menurutnya, isu Sabah tidak lagi berada dalam “Top 6” penyumbang ekonomi negara tidak wajar dijadikan modal politik kerana perbezaannya dengan negeri lain seperti Perak hanyalah sekitar 0.1–0.2 peratus.
“Yang lebih penting, ekonomi Sabah tetap tumbuh positif walaupun sedang melalui fasa penstrukturan semula di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” jelasnya.
Rekod Warisan Lemah
Beliau turut mengingatkan bahawa sebelum pandemik Covid-19 sekalipun, prestasi Warisan sudah merosot – dengan pertumbuhan jatuh daripada 8.1 peratus (2017) kepada 1.5 peratus (2018) dan hanya 0.7 peratus (2019).
“Ini bukti jelas pengurusan ekonomi Warisan sudah lemah sebelum Covid-19,” tegasnya.
Hasil & Rizab Negeri
Roland berkata, rekod pungutan hasil negeri dan rizab kewangan membuktikan keberkesanan pentadbiran GRS.
“Warisan hanya kutip RM4.2 bilion pada 2019. Di bawah GRS, hasil negeri melonjak hampir RM7 bilion pada 2022 dan 2023 – rekod tertinggi dalam sejarah Sabah,” katanya.
Beliau menambah, rizab negeri yang hanya tinggal RM3.2 bilion pada 2019 kini meningkat kepada RM8.6 bilion pada 2024, iaitu kenaikan lebih 160 peratus.
“Dalam ekonomi, simpanan rizab adalah asas kestabilan. Jika ini bukan kejayaan, apa lagi definisi berjaya?” katanya.
— TAMAT

























Add Comment