KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam soal akidah, pembangunan serta kesejahteraan ummah, sebaliknya akan terus menyokong usaha memperkasa syiar Islam di Sabah.
Katanya, pelbagai agensi termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memainkan peranan penting dalam memperkukuh agenda dakwah.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Du’at di sini, hari ini.
Pendidikan & Modal Insan
Selaras dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), katanya, MUIS dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah turut bekerjasama dengan Yayasan Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri untuk menyediakan biasiswa kepada pelajar yang melanjutkan pengajian dalam dan luar negara.
Selain itu, katanya, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan negeri memperuntukkan dana besar menaik taraf infrastruktur masjid dan surau, selain menyediakan pelbagai latihan untuk para pendakwah.
“Insya-Allah, dalam RMK-13 nanti, kita akan terus memperjuangkan agenda dakwah termasuk transformasi dakwah digital, penempatan pendakwah di pedalaman dan pulau, serta program khas belia MADANI untuk melahirkan pendakwah muda berwibawa,” jelasnya.
Insentif Imam & Guru KAFA
Pada majlis itu, Hajiji turut menyampaikan watikah pelantikan kepada Imam-Imam Daerah di seluruh Sabah dan mengumumkan kenaikan elaun sebanyak RM1,000 sebulan kepada 33 imam daerah.
Selain itu, elaun bulanan Guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) serta Imam Rawatib juga dinaikkan RM200, melibatkan peruntukan hampir RM15 juta setahun untuk 2,480 guru KAFA dan 1,643 imam.
Beliau turut mengumumkan bayaran khas sekali gus RM500 kepada 394 Guru Takmir.
“Mudah-mudahan apabila ekonomi negeri semakin kukuh, elaun ini dapat ditingkatkan lagi dari semasa ke semasa,” katanya.
— TAMAT

























Add Comment