Home » Cabaran jadi tunjang kekuatan Gagasan Rakyat – Hajiji
Berita Gagasan Rakyat Berita GRS Politik

Cabaran jadi tunjang kekuatan Gagasan Rakyat – Hajiji

Hajiji percaya dengan adanya lagi hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diolah menepati kehendak rakyat dan keperluan semasa, semua parti dapat meletakkan fokus untuk menjayakannya demi manfaat rakyat.

MEMBAKUT: Pelbagai cabaran telah dilalui Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dalam tempoh tujuh bulan sejak penubuhannya, malah ia menjadi tunjang kekuatan parti yang sehingga kini mempunyai 73 bahagian di seluruh Sabah.

Presiden Gagasan Rakyat Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, walaupun berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19 dan usaha ‘kudeta’ yang mahu menjatuhkan kerajaan awal tahun lalu, parti itu terus mendapat sokongan daripada parti tempatan lain dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan ia memberi isyarat jelas akar umbi lebih meyakini parti lokal.


Mengulas lanjut Hajiji berkata, bukan sahaja faktor parti lokal menjadi penyumbang kekuatan, tetapi juga hasil perjuangan yang telah dilakukan GRS sepanjang tempoh mengambil alih tampuk kerajaan negeri dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif selari dengan aspirasi rakyat.


Beliau percaya dengan adanya lagi hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diolah menepati kehendak rakyat dan keperluan semasa, semua parti dapat meletakkan fokus untuk menjayakannya demi manfaat rakyat.


Hajiji berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan Bahagian Gagasan Rakyat Membakut yang diadakan di Dewan Terbuka Pekan Membakut, kelmarin.


Dalam majlis itu, Hajiji turut mengingatkan seluruh pimpinan bahagian termasuk jentera supaya bekerja lebih gigih bagi membuktikan kepada rakyat keupayaan dan kemampuan parti dalam memperjuangkan aspirasi akar umbi.


Tambah beliau, walaupun berbaki dua tahun lagi sebelum pilihan raya, namun lebih baik jentera di seluruh bahagian bekerja bermula sekarang bagi membolehkan parti berjaya meraih kemenangan dalam pilihan raya akan datang.


Hajiji turut mengingatkan pemimpin lain supaya tidak sesekali mengabaikan tanggungjawab sebagai pemimpin sebaliknya bekerja dengan melakukan yang terbaik bagi memenuhi harapan rakyat.


Kira-kira seramai 1,700 perwakilan Gagasan Rakyat Membakut hadir pada mesyuarat tahunan bahagian yang diadakan pada Sabtu di Dewan Terbuka Membakut.


Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Membakut, Datuk Dr Arifin Arif mewakili perwakilan mengucapkan terima kasih kepada Presiden Gagasan Rakyat Datuk Seri Panglima Hajiji Noor atas kesudian merasmikan Mesyuarat Tahunan Bahagian Gagasan Rakyat Membakut.


Katanya, dengan kehadiran Presiden ia secara tidak langsung dapat menyuntik lagi semangat perwakilan dan juga ahli-ahli serta kepimpinan bahagian untuk terus berjuang untuk memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat.


Pada majlis itu, Hajiji turut memberi kelulusan untuk membina sebuah Dewan Masyarakat Membakut yang baharu bagi menggantikan dewan sedia ada yang usang.

— TAMAT