Home » Maijol bawa isu pembangunan Bandau kepada Ketua Menteri
Berita Gagasan Rakyat Berita GRS Politik

Maijol bawa isu pembangunan Bandau kepada Ketua Menteri

Maijol berkata Bandau masih lagi ketinggalan dari segi pembangunan infrastruktur. Banyak lagi jalan-jalan utama yang perlu dinaik taraf seperti Jalan Koromoko, Jalan Soronsob - Pampang Poring, Jalan Tambun, Jalan Kirangawan dan banyak lagi.

BANDAU: Parti Gagasan Rakyat Sabah atau Gagasan Rakyat adalah sebuah parti yang berorientasikan tempatan. Ia merupakan parti tempatan yang memahami dan sejajar dengan pilihan rakyat, dan ia berjuang untuk kepentingan negeri dan rakyat Sabah.

Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Bandau Datuk Maijol Mahap menyatakan perkara ini semasa merasmikan Mesyuarat Tahunan Bahagian di Dewan Komuniti Kota Marudu.

Katanya, rakyat perlu menyokong Gagasan Rakyat kerana ia adalah sebuah parti berpangkalan di Sabah dan merupakan komponen dalam GRS. Parti pelbagai etnik ini memiliki visi untuk Sabah yang makmur dan lestari, menggalakkan ketelusan, dan berjuang untuk hak-hak Sabah.

Maijol juga menyokong penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sabah dengan autonomi untuk menjaga kepentingan rakyat Sabah dan memastikan sekuriti makanan.

Beliau berkata Bandau masih lagi ketinggalan dari segi pembangunan infrastruktur. Banyak lagi jalan-jalan utama yang perlu dinaik taraf seperti Jalan Koromoko, Jalan Soronsob – Pampang Poring, Jalan Tambun, Jalan Kirangawan dan banyak lagi.

Memandangkan Bandau buat masa ini adalah kawasan pembangkang maka Gagasan Rakyat Bahagian Bandau akan buat yang terbaik untuk membawa permasalahan rakyat dan isu-isu pembangunan Bandau ke perhatian Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Perwakilan juga turut mengutarakan beberapa usul antara lain supaya pengwujudan Ketua Kampung di kampung-kampung yang sudah mempunyai JKKK, selain meminta kerajaan menambah rumah SMJ daripada 20 unit kepada 40 unit untuk setiap DUN, jalan konsesi Kekal Mewah diambilalih oleh JKR untuk penyelenggaraan dan tanah rizab Safoda dan Borneo Samudera diberikan kepada penduduk kampung untuk tujuan peningkatan ekonomi rakyat.

Mesyuarat Tahunan Bahagian ini merupakan yang pertama dalam sejarahnya dan dihadiri oleh seramai 736 perwakilan dan pemerhati dari seluruh cawangan Bahagian Bandau. Ketua parti komponen GRS (STAR, USNO, PBS dan SAPP) dan PH (KEADILAN, DAP dan UPKO) juga turut hadir.

Pada sebelah pagi diadakan Mesyuarat Tahunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Beliawanis.

— TAMAT