Home » Membakut secara rasminya menjadi daerah penuh
Berita Gagasan Rakyat Berita GRS Politik

Membakut secara rasminya menjadi daerah penuh

RASMI: Hajiji (dua kanan) menandatangani plak sebagai simbolik pelancaran Daerah Penuh Membakut yang diadakan di perkarangan Pejabat Daerah Membakut.

MEMBAKUT: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor hari ini secara rasminya menyempurnakan pelancaran Daerah Penuh Membakut dalam satu majlis yang diadakan di perkarangan Pejabat Daerah Membakut.

Setelah diwartakan Mac tahun lalu, hari ini (Sabtu) secara rasminya pentadbiran Daerah Membakut dinaiktaraf menjadi daerah penuh dibawah pimpinan Pegawai Daerah yang meliputi dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Membakut dan DUN Bongawan.


Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Arifin Arif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut yakin dengan kewujudan daerah penuh, Pejabat Daerah dapat memberi fokus yang lebih kepada pembangunan dan berharap ia dapat berjalan dengan lancar seperti yang diharapkan.


Jelas Arifin, kewujudan Daerah Penuh Membakut juga secara tidak langsung membolehkan Majlis Daerah Membakut diwujudkan termasuk juga pembangunan-pembangunan yang lain.


Bagi memastikan perancangan pembangunan berjalan dengan lancar pada masa hadapan dan pada ketika ini, Arifin akan berbincang bersama Pegawai Daerah Membakut, Ibrahim Terki dan pimpinan-pimpinan lain mengenai perkara itu.


Arifin ketika ditemui selepas pelancaran Daerah Penuh Membakut turut mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Ketua Menteri kerana telah meluluskan pembinaan sebuah dewan untuk masyarakat Membakut bagi menggantikan dewan sedia ada yang sudah usang.


Dengan adanya kemudahan itu, beliau percaya banyak program dan aktiviti masyarakat dapat dilaksanakan pada masa hadapan, sesuai dengan Membakut yang kini telah menjadi sebuah daerah penuh.


Dalam perkembangan berkaitan, Arifin turut menyambut baik pengumuman Ketua Menteri yang bercadang mewujudkan Taman Perindustrian Kimanis di Bongawan dalam kabinet baru-baru ini, yang diyakini dapat melonjak ekonomi di sekitarnya.


Beliau percaya, langkah itu bukan sahaja dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sabah tetapi juga dapat mewujudkan pelbagai peluang selari dengan permintaan industri bahkan membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat sekitar taman perindustrian itu.

— TAMAT

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment