Home » CIPR dan Pan Borneo, formula baharu pembangunan jalan Sabah
Berita GRS Politik

CIPR dan Pan Borneo, formula baharu pembangunan jalan Sabah

KEMUDAHAN: Pembinaan Jalan Sapulut-Pegalungan mampu memudahkan perhubungan penduduk di kawasan perkampungan berdekatan.

DI sebalik keindahan alam semula jadi Sabah yang memukau, tersimpan satu cabaran besar yang telah lama membelenggu penduduk luar bandar keadaan jalan raya yang uzur dan berisiko tinggi. 

Namun, sinar harapan mula menyinari laluan-laluan terpencil apabila kerajaan negeri meluluskan peruntukan khas sebanyak RM285 juta bagi membaik pulih jalan-jalan negeri yang kritikal. 

Langkah itu bukan sekadar pembaikan fizikal, tetapi satu usaha menyeluruh untuk menjamin keselamatan, keselesaan dan kelangsungan hidup masyarakat yang bergantung sepenuhnya kepada jaringan jalan raya.

Dalam masa yang sama, projek mega Lebuh Raya Pan Borneo Sabah terus digerakkan dengan pelaksanaan kerja-kerja awal di beberapa pakej pembinaan di kawasan pantai timur. 

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata, langkah pembaikan jalan raya akan menggunakan kaedah gabungan teknologi moden seperti Cold In-Place Pavement Recycling (CIPR) kerana ia terbukti berkesan terutama di kawasan yang mengalami kerosakan berulang akibat beban berlebihan dan kerjasama pelbagai agensi.

Dengan usaha seumpamanya, Sabah kini berada diambang transformasi infrastruktur yang bakal mengubah landskap pengangkutan ke arah yang lebih baik.

Shahelmey berkata, usaha diambil berdasarkan keutamaan kerajaan bagi menjamin keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya agar sentiasa sejahtera.

Katanya, empat laluan utama yang dikenal pasti dalam keadaan uzur yang ditumpukan ialah Jalan Sepulut-Kalabakan, Jalan Nangoh-Paitan-Kanibongan, Jalan Kanibongan dan Jalan Langkon-Pitas.

Menurutnya, laluan berkenaan adalah jalan negeri yang penting dan tidak dapat ditangani dengan penyelenggaraan rutin berkala oleh konsesi yang dilantik.

Katanya, kaedah CIPR lebih menjimatkan kos selain memberikan jaminan jangka hayat permukaan jalan raya lebih lama.

Dalam pada itu, pada April lepas, beliau menjelaskan tiga pakej projek fasa 1B 1B Lebuh Raya Pan Borneo Sabah sedang dilaksanakan.

Ia termasuk kerja-kerja pembersihan tapak dan penyerahan notis kepada pemilik tanah yang terlibat.

Tiga pakej terbabit adalah WP35, WP34, dan WP33 yang melibatkan pembinaan jalan raya sepanjang 70.2 kilometer di kawasan pantai timur.

Katanya, kemajuan terkini kerja-kerja yang dilaksanakan di tiga pakej pembinaan, termasuk penyerahan notis yang sedang dijalankan. 

Beliau yakin projek itu dapat dilaksanakan mengikut jadual dengan kerjasama penuh dari semua pihak termasuk JKR, juruperunding, kontraktor pelaksana serta jabatan berkaitan termasuk Jabatan Tanah dan Ukur.

 Shahelmey mengadakan lawatan kerja dua hari pada 27 April
TAKLIMAT: Shahelmey mengadakan lawatan kerja dua hari pada 27 April

Pakej WP33 melibatkan jalan dari Kampung Lumou Baru ke Kampung Toupos (19.5 kilometer), WP34 dari Kampung Toupos ke Kampung Nabutan (24.2 kilometer) dan WP35 dari Kampung Nabutan ke Ranau (26.5 kilometer).

Projek Lebuh Raya Pan Borneo Fasa 1 terbahagi kepada Fasa 1A yang dijangka siap pada 2026, manakala Fasa 1B pada 2028, dengan keseluruhan Fasa 1 melibatkan 35 pakej pembinaan jalan raya sepanjang 706 kilometer. 

Dengan peruntukan besar dan teknologi moden, usaha membaik pulih jalan raya serta pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo menjadi langkah penting ke arah sistem pengangkutan yang lebih selamat dan efisien. 

Sabah kini berada di landasan transformasi infrastruktur demi kesejahteraan rakyat luar bandar.

— UB

About the author

Elle ABT

Add Comment

Click here to post a comment