SELEPAS berbulan-bulan lamanya berdepan tekanan air rendah dan gangguan bekalan air yang meresahkan. Penduduk Kota Kinabalu akhirnya boleh menarik nafas lega apabila Projek Telibong 2 Fasa Dua yang dinanti-nantikan telah siap sepenuhnya 14 Julai lepas.
Usaha berterusan kerajaan negeri untuk mengatasi masalah itu berhasil sekali gus menandakan permulaan kepada sistem bekalan air yang lebih stabil dan mampan
Namun, di sebalik kejayaan ini, cabaran lain terus menghantui daerah seperti Tawau dan Sandakan yang kini bergelut dengan pencemaran sungai dan sumber air mentah yang terhad.
Kerajaan negeri sedang bertungkus-lumus melaksanakan pelbagai inisiatif jangka pendek dan panjang untuk memastikan setiap titisan air sampai ke rumah rakyat.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya baru-baru ini berkata, untuk Projek Telibong 2 Fasa Dua, proses pembersihan, pengujian dan pentauliahan telah dilaksanakan dengan teliti sebelum air disalurkan kepada pengguna.
Beliau berkata, peningkatan tekanan air membolehkan penduduk di Bandaraya Kota Kinabalu mula merasai bekalan air yang stabil.
Bagaimanapun katanya, masih terdapat cabaran seperti kerosakan pada paip air lama dan memerlukan masa bagi menstabilkan paras air di tangki simpanan Jabatan Air Negeri Sabah.

Beliau berkata, isu-isu berkenaan sedang diatasi secara berperingkat dan ia adalah sebagai usaha proses penambahbaikan berterusan.
Tidak dinafikan katanya, masih terdapat gangguan bekalan air di negeri ini tetapi kerajaan negeri komited untuk memastikan kemudahan ini dinikmati semua rakyat.
Katanya, gangguan bekalan air di Tawau adalah disebabkan pencemaran sungai. Pihak berkaitan terpaksa menghentikan operasi sementara di Loji Rawatan Air (LRA) Utara Tawau. Ini berlaku pada penghubung Julai dan awal Ogos 2025.
Menurutnya, bacaan amonia melebihi paras selamat iaitu 1.4mg/l berbanding had yang dibenarkan sebanyak 0.5mg/l.
Katanya, punca dipercayai akibat pencemaran dari kawasan tadahan sungai, termasuk penempatan perumahan berdekatan.
Dalam pada itu katanya, satu mesyuarat telah dilakukan diantara Jurutera Jabatan Air Daerah Tawau dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau bagi mengenal pasti punca pencemaran dan merangka penyelesaian jangka panjang.
Walaupun Projek Telibong 2 Fasa Dua telah membawa sinar harapan kepada penduduk Kota Kinabalu dengan bekalan air yang lebih stabil, realitinya masih banyak daerah lain di Sabah yang bergelut dengan isu bekalan air.
Pencemaran sungai, sumber air mentah yang terhad dan infrastruktur terus menjadi cabaran utama.
Namun, komitmen kerajaan negeri untuk menangani masalah ini secara menyeluruh melalui pelan jangka pendek dan panjang menunjukkan kesungguhan dalam memastikan hak asas rakyat untuk mendapatkan air bersih tidak terabai.
Dengan usaha berterusan dan kerjasama pelbagai pihak, diharapkan setiap titisan air yang mengalir kelak menjadi lambang kemajuan dan kesejahteraan buat seluruh rakyat Sabah.

— UB

























Add Comment