KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, hari ini menerima kunjungan hormat Duta Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, TYT Rafael Daerr, di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis.
Dalam pertemuan itu, Rafael menegaskan Sabah mempunyai kedudukan penting dalam hubungan EU–Malaysia, selari dengan peranan strategik negeri ini di rantau Asia Tenggara serta potensi besar dalam bidang ekonomi, pembangunan mampan dan hubungan antarabangsa.
Beliau turut menyatakan komitmen Kesatuan Eropah untuk terus memperkukuh hubungan dengan Sabah, berlandaskan hubungan baik dan penglibatan positif yang telah terjalin sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ketua Menteri menegaskan kerajaan negeri sentiasa terbuka terhadap kerjasama antarabangsa yang selari dengan hala tuju pembangunan negeri serta mampu memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat, khususnya dalam mempercepat agenda pembangunan Sabah.
“Kerajaan Negeri mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama strategik yang berteraskan pembangunan mampan, pemindahan teknologi, peningkatan kapasiti tempatan serta peluang pelaburan berkualiti tinggi,” katanya.
Berdasarkan keutamaan dan hala tuju kerajaan negeri, Hajiji dan Rafael turut bertukar pandangan mengenai potensi kerjasama masa depan antara EU dan Sabah, bukan sahaja untuk meneruskan bentuk penglibatan sedia ada, malah meneroka peluang baharu yang lebih strategik dan berimpak tinggi dalam bidang berkaitan ekonomi hijau, kelestarian alam sekitar, perdagangan dan pembangunan sumber manusia.
Perbincangan kedua-dua pihak turut menyentuh pendekatan memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang berpotensi, sejajar dengan visi pembangunan Sabah di bawah kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) serta kepentingan bersama Kesatuan Eropah.
Terdahulu, Rafael menghadiri majlis pelancaran Buku Sistem Jaminan Perundangan Kayu Sabah Plus (Sabah TLAS+), iaitu sistem pertama seumpamanya di dunia yang menyelaraskan secara bersepadu aspek perundangan, keperluan bebas penebangan hutan di bawah Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), serta prinsip kelestarian sukarela dalam satu rangka kerja bersepadu.
Sementara itu, Hajiji turut menerima kunjungan hormat Konsul Republik Korea di Kota Kinabalu, Choi Bongkyu. Kunjungan berkenaan merupakan pertemuan rasmi pertama Choi dengan Ketua Menteri selepas beliau dilantik sebagai Konsul Republik Korea di Sabah pada November lalu.
Ketua Menteri merakamkan penghargaan atas hubungan baik yang terjalin antara Sabah dan Republik Korea serta menyatakan kesediaan kerajaan negeri untuk meneruskan kerjasama dua hala dalam bidang pelaburan, perdagangan, pelancongan dan pertukaran budaya.
–TAMAT

























Add Comment