KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, mengalu-alukan inisiatif Shell Malaysia untuk memperkasa penyertaan tempatan dalam industri minyak dan gas negeri ini, selaras usaha memperluas peluang ekonomi serta memperkukuh pembangunan keusahawanan rakyat Sabah.
Beliau berkata, kerajaan negeri sebelum ini menetapkan sasaran peningkatan 100 peratus bagi nilai kontrak Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) yang dianugerahkan kepada syarikat tempatan, sebagai komitmen memperkasa penglibatan pemain industri tempatan dan membina ekosistem tenaga negeri yang lebih berdaya tahan serta mampan.
“Sasaran ini mencerminkan komitmen jitu Kerajaan Negeri untuk memperkukuh penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian nilai industri minyak dan gas, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan pemindahan teknologi kepada rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pengerusi Shell Malaysia merangkap Naib Presiden Kanan Huluan Malaysia, Siti Hurrairah Sulaiman, di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis.
Dalam pertemuan itu, Siti Hurrairah memberi taklimat mengenai perkembangan perniagaan Shell di Sabah, termasuk projek-projek huluan yang sedang dan akan dilaksanakan, selain inisiatif syarikat dalam memupuk keusahawanan tempatan menerusi program Shell LiveWIRE.
Ketua Menteri turut menzahirkan harapan agar kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Sabah dan Shell Malaysia dapat diperkukuh, khususnya dalam aspek pembangunan vendor tempatan, peningkatan keupayaan teknikal syarikat OGSE Sabah serta peluang latihan dan pembangunan modal insan.
Turut hadir pada pertemuan itu ialah Pengurus Besar Sabah Shell, Alexon Jong; Pengurus Besar Perhubungan Korporat Malaysia Timur Shell Malaysia, Jonathan Jolly; serta Penasihat Perhubungan Korporat Malaysia Timur Shell Malaysia, Liz Kumar.
–TAMAT

























Add Comment