Home » Gagasan Rakyat Sedia kongsi perjuangan atas landasan Muafakat Sabah
Uncategorized

Gagasan Rakyat Sedia kongsi perjuangan atas landasan Muafakat Sabah

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, GRS akan sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menjunjung dan mengiktiraf hak dan kepentingan Sabah.

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sedia berkongsi agenda perjuangan dengan rakan-rakan dari parti politik  lain dalam menganjak kerjasama yang lebih bernilai dan bermakna dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atas landasan Muafakat Sabah. 


Ketua Menteri yang juga Presiden Gagasan Rakyat Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, muafakat perlu disimpul bukan hanya di peringkat kepimpinan, malah perlu dikembangkan ke peringkat akar umbi. 

Beliau berkata, GRS akan sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menjunjung dan mengiktiraf hak dan kepentingan Sabah.


“Ia termasuk menghormati kebebasan dan keabsahan pemimpin dan rakyat Sabah dalam menentukan barisan kepimpinan teraju kerajaan negeri. 


“Sebagaimana peristiwa mutakhir yang kita lalui baru-baru ini, kita amat menghargai budaya dan komitmen politik kepimpinan parti-parti nasional yang menghormati keputusan pemimpin-pemimpin tempatan dalam menentukan hala tuju kepimpinan negeri.

“Pendekatan ini sekali gus memelihara kredibiliti dan legitimasi para pemimpin mereka di peringkat negeri yang dipilih oleh rakyat akar umbi di Sabah,” katanya.


Dalam pada itu, Hajiji turut merakamkan ucapan penghargaan kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memberikan mandat dan kepercayaan kepadanya untuk terus menerajui kerajaan negeri. 


Beliau bersyukur kerana terus menerima sokongan sebuah pasukan yang lebih inklusif serta responsif kepada keutamaan dalam menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), biarpun di sebalik kemelut yang berlaku.


Beliau mahu memastikan segala perancangan dapat dilaksanakan, di samping mengenal pasti strategi serta meneroka peluang dan potensi baharu.


“Ini termasuk usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Sabah di bawah inisiatif mesra pelabur SMJ. Sehingga kini, kita berjaya mencapai rekod pelaburan langsung asing serta pelaburan domestik berjumlah RM33.4 bilion.


“Kita teruskan dan lonjakkan momentum pembangunan negeri. Kita buktikan Muafakat Sabah yang kita rintis ini adalah pilihan tepat dan terbaik untuk tanah air tercinta,” jelasnya
Turut hadir, Timbalan Presiden Gagasan Rakyat Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; Naib Presiden Gagasan Rakyat Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, Datuk Rubin Balang, dan Datuk Masiung Banah.

— Siti Aisyah Narudin