KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tetap dengan pendirian menuntut 40 peratus perkongsian hasil dan pemberian khas daripada kerajaan Persekutuan menerusi rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata berikutan itu kerajaan negeri bertegas meminta kerajaan Persekutuan menyegerakan kajian semula Artikel 112D Perlembagaan Persekutuan berhubung perkara itu.
Pada masa yang sama, katanya, kerajaan Sabah juga tetap dengan pendirian menolak Akta Laut Wilayah 2012 yang mengehadkan sempadan maritim negeri kepada tiga batu nautika.
“Kami bertegas menggesa kerajaan Persekutuan menyegerakan kajian semula Artikel 112D berkaitan tuntutan 40 peratus perkongsian hasil dan pemberian khas.
“Pendirian kami juga menolak Akta Laut Wilayah 2012 yang mengehadkan sempadan maritim negeri kepada hanya tiga batu nautika, sebaliknya mengekalkan sempadan laut kita melebihi 200 batu nautika mengikut Perintah Borneo Utara (Pengubahan Sempadan) termaktub dalam Majlis 1954,” katanya pada pelancaran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), di sini, hari ini.
Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat, berkata ia adalah bukti komitmen kerajaan negeri yang tidak pernah berhenti menuntut apa yang terbaik kepada rakyat melalui pengurusan berkesan dan berhemah.
Katanya, ia juga adalah komitmen dan ikrar beliau sebagai Ketua Menteri bahawa kerajaan pimpinannya akan melakukan yang terbaik dengan sokongan berterusan rakyat Sabah.
Apa yang menggembirakan, katanya, usaha mengejar dan menuntut hak Sabah di bawah MA63 menunjukkan banyak kemajuan sejak beliau mengambil alih tampuk pemerintahan.
Beliau berkata, dalam Mesyuarat MA63 di Kuching pada 20 Januari lalu bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau secara peribadi memberitahunya bahawa adalah tidak adil negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak tidak mendapat apa yang sepatutnya.
“Perdana Menteri mengumumkan bahawa semua isu tertunggak dalam MA63 sudah melepasi proses perbincangan dan kini dalam peringkat pelaksanaan.
“Satu-satunya isu tertunggak ketika ini adalah mengenai aspek teknikal dan kita akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan semua tuntutan dipercepatkan.
“Terkini, kita akan melihat penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada Sabah berjalan dengan lancar pada 1 Januari 2024 bagi membolehkan Sabah menubuhkan Suruhanjaya Tenaga Elektrik sendiri,” katanya.
— Izwan Abdullah
Add Comment