Home » Gagasan Rakyat Tambunan semakin diterima rakyat
Berita Gagasan Rakyat Berita GRS Politik

Gagasan Rakyat Tambunan semakin diterima rakyat

Victor juga menjelaskan kehadiran Gagasan Rakyat di Tambunan adalah membantu mengukuhkan lagi kedudukan dan kekuatan GRS, selaku parti pemerintah negeri dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang.

TAMBUNAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tambunan akan memastikan anggota parti bahagian itu tidak hanya diukur dari segi kuantiti atau jumlah tetapi dari segi kualiti yang terbaik.

Ketua Bahagian Gagaaan Rakyat Tambunan, Datuk Victor P. Paut berkata, pihaknya memberikan jaminan akan memberikan sumbangan padu kepada kekuatan Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada keseluruhannya.

“Walaupun parti Gagasan Rakyat baharu saja ditubuhkan beberapa bulan yang lalu tetapi parti ini telah berjaya menarik perhatian dan mendapat sokongan yang amat membanggakan dalam kalangan rakyat.

“Sehingga kini ahli parti Gagasan Rakyat di seluruh Sabah telah melebihi 300,000 ribu orang dan pastinya jumlah ahli akan bertambah lagi dari semasa ke semasa.

“Di Tambunan, setelah parti Gagasan Rakyat ditubuhkan, sambutan serta sokongan rakyat terhadap parti ini sangat memberangsangkan dan berjaya menarik sokongan dari pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Tambunan 2023, di sini baru-baru ini.

Victor juga menggesa ketiga-tiga Sayap Gagasan Rakyat Tambunan iaitu Pergerakan Pemuda, Wanita dan Beliawanis untuk terus berkerja keras dan memperbanyakkan aktiviti bersesuaian dengan kumpulan sasar masing-masing.

“Fokus utama kita ialah untuk mendapatkan 10,000 orang ahli pada tahun hadapan, kepada Pemuda dan Beliawanis…saya berharap dapat menumpukan usaha menarik sokongan lebih ramai golongan belia serta beliawanis menyertai Gagasan Rakyat,” katanya.

Beliau juga menjelaskan kehadiran Gagasan Rakyat di Tambunan adalah membantu  mengukuhkan lagi kedudukan dan kekuatan GRS, selaku parti pemerintah negeri dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang. 

Victor berkata, pihaknya tidak berniat untuk bersaing dengan rakan komponen dalam GRS kerana bersama-sama perlu memastikan kemenangan mutlak pada pilihan raya nanti.

— Yap Siong Han