KOTA KINABALU: Keharmonian yang terbina dalam hubungan masyarakat pelbagai budaya, bangsa dan agama di Sabah perlu sentiasa dipertahankan.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, ia merupakan kekuatan dan identiti penting Sabah yang mempunyai sebanyak 35 etnik dan 217 sub etnik yang berkomunikasi dalam lebih 50 bahasa serta 80 dialek etnik.
Menurutnya, perbezaan kaum dan agama bukan penghalang untuk hidup bersama secara harmoni. Saling menghormati dalam kalangan rakyat adalah antara kunci kejayaan negeri ini dalam mengekalkan perpaduan kaum.
Beliau menyeru agar ikatan persaudaraan umat Islam di rantau ini terus diperkukuhkan atas tautan ‘ukhuwwah islamiyyah’ dan pertahankan amalan kesederhanaan serta perpaduan agar tidak mudah dipengaruhi atau diganggu gugat oleh unsur-unsur yang ekstrem.
“Persaudaraan ini penting kerana ia menjadi pengikat kepada usaha-usaha keharmonian, kemakmuran berasaskan prinsip-prinsip keadilan, rahmah dan kasih sayang. Ajaran Islam juga menekankan tentang nilai toleransi serta kebersamaan.
“Melalui nilai-nilai itu, kita dituntut untuk menghormati perbezaan yang terdapat dalam masyarakat dan menerima realiti kepelbagaian seperti yang digariskan dalam Islam,” katanya ketika merasmikan Seminar Keharmonian Serantau di sini, hari ini.
Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Hajiji berkata, dalam memperkukuhkan kesatuan ummah serantau bagi mendepani cabarancabaran global masa kini, umat Islam perlu diperlengkapkan dengan keupayaan intelektual, kreativiti dan daya saing yang tinggi, termasuk cabaran perubahan kepada cara hidup yang berupaya memberi kesan kepada hubungan dalam masyarakat pelbagai budaya serta agama.
Menurutnya, umat Islam sebagai masyarakat yang dipimpin oleh nilai-nilai agama dan isu-isu negatif yang melebarkan lagi jurang perbezaan dalam masyarakat perlu diselesaikan dengan baik.
Sehubungan itu, beliau meminta Umat Islam di negara ini khususnya di Sabah, agar tidak terlibat dengan mana-mana kumpulan ekstreme yang mampu menggugat keamanan, perpaduan dan persaudaraan serta keharmonian negara.
Hajiji berkata, wacana keharmonian dan kemakmuran tidak boleh lari daripada membincangkan dimensi kepelbagaian umat manusia secara keseluruhan.
Katanya, rantau ini khususnya terdiri daripada pelbagai etnik, budaya dan agama yang sememangnya merupakan satu dimensi yang perlu diurus dengan cara yang terbaik.
“Saya mengharapkan keharmonian dan keamanan yang terjalin dalam kalangan masyarakat yang pelbagai di rantau ini menjadi model kepada dunia,” katanya.
— Yap Siong Han
Add Comment