Home » Gagasan Rakyat tekad berjuang demi rakyat: Amisah
Berita Gagasan Rakyat Berita GRS Politik

Gagasan Rakyat tekad berjuang demi rakyat: Amisah

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Paginatan, Datuk Amisah Yassin merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian ahli yang menghadiri Mesyuarat Cawangan Gagasan Rakyat Kituntul Baru.
Amisah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik berkata kemasukan ahli-ahli dari parti lain ke Gagasan Rakyat adalah satu tindakan 'hijrah' yang baik, yang diyakini dapat menguatkan lagi parti itu.

RANAU: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Paginatan, Datuk Amisah Yassin merasmikan Mesyuarat Cawangan Gagasan Rakyat Kituntul Baru, pada Sabtu.

Amisah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik berkata, tiba masanya Sabah diterajui parti lokal bagi memastikan hak-hak Sabah dapat diperjuangkan demi manfaat rakyat.


Jelas beliau, Gagasan Rakyat sebagai sebuah parti lokal tekad untuk berjuang demi memastikan hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dipenuhi.


“Tiba masanya untuk kita berjuang menerusi parti lokal demi masa depan yang baik sekaligus memastikan nasib rakyat dan negeri Sabah terus terbela, ” katanya.


Turut hadir Ketua Cawangan Gagasan Rakyat Kituntul Baru, Jusli Zakaria.

Dalam pada itu Amisah berkata, kemasukan ahli-ahli dari parti lain ke Gagasan Rakyat adalah satu tindakan ‘hijrah’ yang baik, yang diyakini dapat menguatkan lagi parti itu.


Keberanian itu jelas Amisah tentunya akan membawa hasil yang baik kerana keputusan itu pastinya suatu perubahan ke arah yang lebih baik.


“Situasi politik berubah mengikut peredaran zaman, oleh itu politik ketika ini juga dituntut mengikut arus semasa.


“Sabah dahulu sering digelar sebagai ‘fix deposit’, akan tetapi situasi sudah berubah namun yang penting, sebagai parti lokal, Gagasan Rakyat akan terus berjuang demi masa depan dan nasib rakyat yang lebih baik, ” katanya.


Mengenai Cawangan Gagasan Rakyat Kituntul Baru Paginatan, seramai kira-kira 77 ahli baru berdaftar dalam cawangan itu, semasa Mesyuarat Cawangan yang diadakan dan dirasmikan Amisah pada Sabtu.

— Kenneddy Corlleus