Home » Memperkenalkan Sabah melalui pertandingan ratu cantik – Hajiji
Berita Gagasan Rakyat Berita GRS Politik

Memperkenalkan Sabah melalui pertandingan ratu cantik – Hajiji

Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Phoong Jin Zhe mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor merasmikan Malam Pertabalan Miss World Malaysia di sini, kelmarin.

KOTA KINABALU: Festival Kecantikan Miss World Malaysia 2023 menyediakan platform terbaik memperkenalkan Sabah sebagai destinasi pelancongan sekali gus mampu menarik pelancong antarabangsa datang ke negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, Sabah sudah bersedia untuk menarik pelancong antarabangsa.

“Inilah malam yang ditunggu-tunggukan dan Sabah sudah bersedia,” katanya ketika merasmikan Malam Pertabalan Miss World Malaysia di sini, kelmarin

Teks ucapannya disampaikan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Phoong Jin Zhe.

Hajiji berkata, dengan penjenamaan semula ‘Feel Sabah, Borneo Utara’, Sabah mahu dunia tahu bahawa negeri ini terletak di Pulau Borneo, pulau ketiga terbesar di dunia.

“Slogan ini juga akan menjadi daya tarikan sejarah silam Sabah,” katanya.

Menurutnya, pertandingan ratu cantik bukan lagi sekadar tontonan kecantikan tetapi telah diubah menjadi satu tujuan dan perubahan positif.

“Kami memuji usaha anda menggunakan platform ini, melalui misi ‘Beauty with a Purpose’. 

“Platform digunakan untuk mempromosikan potensi minda golongan muda dengan menggalakkan keyakinan dan disiplin diri,” katanya.

Hajiji berkata, misi ‘Beauty with a Purpose’ adalah tepat menggambarkan kapasiti pertandingan untuk membantu masyarakat yang memerlukan.

“Kami menyokong penuh komitmen yang ditunjukkan ini,” katanya.

Hajiji turut mengalu-alukan kehadiran Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Miss World, Julia Morley dan Miss World 2022, Karolina Bielawska.

“Kami memuji sumbangan anda, peranan dalam memberi inspirasi kepada perubahan positif dan sokongan untuk pelancongan Sabah. 

“Visi Julia Morley telah melahirkan misi Miss World Beauty With A Purpose yang telah mencapai kejayaan, menyentuh hati dan mencipta impak yang berkekalan. Syabas!,” katanya.

— TAMAT