TUARAN: Projek menaik taraf Jalan Berungis–Pekan Tuaran bukan terbengkalai seperti didakwa, sebaliknya sedang berjalan mengikut prosedur walaupun berdepan beberapa kekangan teknikal dan pentadbiran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya, berkata sebagai wakil rakyat kawasan itu beliau memahami keresahan penduduk berhubung kesesakan trafik di laluan berkenaan, namun menegaskan projek tersebut tetap diteruskan.
“Saya sendiri turun meninjau hujung minggu lalu dan jelas kelihatan kerja sudah bermula. Projek ini tidak tergendala seperti yang dibimbangkan,” katanya ketika menjawab kritikan Ketua Penyelaras Parti KDM Pantai Dalit, Jaesman Gipin, baru-baru ini.
Projek RMK-12
Jasnih menjelaskan projek sepanjang 2.7 kilometer itu diluluskan di bawah Rolling Plan Kedua, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Ia merangkumi naik taraf jalan dua lorong kepada empat lorong dua hala, pembinaan jejambat U-turn serta jambatan baharu menggantikan pembetung lama.
Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan pada Mac 2024, manakala reka bentuk terperinci siap Disember tahun sama. Projek bermula rasmi 12 Mac 2024 dengan tempoh asal 36 bulan, tetapi kini dijadual siap 31 Mac 2028 selepas lanjutan masa (EOT) diberikan.
Punca Kelewatan
Antara faktor kelewatan termasuk proses pengambilan tanah yang mengambil masa panjang serta isu teknikal pengalihan utiliti seperti tiang elektrik, kabel dan paip air.
“Proses ini memang kompleks kerana melibatkan pelbagai agensi teknikal, namun projek tetap berjalan dan bukan terbengkalai,” katanya.
Komitmen kepada Rakyat
Jasnih mengingatkan penduduk bahawa isu kesesakan jalan ini adalah antara perkara pertama yang dibincangkan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, selepas kerajaan baharu dibentuk.
“Pada 2022 saya umumkan projek ini selepas mendapat pengesahan daripada Ketua Menteri. Saya kekal optimis dan menyeru rakyat supaya bersabar kerana ia demi kepentingan jangka panjang penduduk Tuaran,” katanya.
— TAMAT

























Add Comment