Home » GRS mampu cipta kejutan menang kerusi DUN Lamag – Masiung
Berita Gagasan Rakyat Berita GRS Politik

GRS mampu cipta kejutan menang kerusi DUN Lamag – Masiung

Masiung berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Parti Gagasan Rakyat Bahagian Lamag, di Dewan Sri Lamag, di sini semalam.

KINABATANGAN: Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat mampu mencipta kejutan untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihanraya Negeri (PRN) akan datang.

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Masiung Banah berkata, pihaknya yakin dapat menawan kerusi DUN itu kerana prestasi parti semakin baik.

Katanya, kemunculan parti tempatan ini adalah jajaran baharu warga Lamag supaya bangkit mengambil pendekatan drastik menerusi Gagasan Rakyat.

“Pada tahun ini telah menyaksikan kebangkitan ketara ledakan politik Sabah bersandarkan sambutan luar biasa rakyat kepada parti pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

“Berdasarkan sambutan positif menerusi perhimpunan yang telah diadakan, saya percaya pasti ada perubahan baharu menyusul di kawasan Lamag menjelang PRN akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Parti Gagasan Rakyat Bahagian Lamag, di Dewan Sri Lamag, di sini semalam.

Menurutnya, kepimpinan parti di Lamag dinasihatkan supaya tidak bergerak secara solo, tetapi sentiasa mewujudkan muafakat bersama parti-parti komponen GRS di kawasan itu.

Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berkata, ahli Gagasan Rakyat dan GRS perlu mempunyai semangat jihad dengan mengambil iktibar dari sejarah perjuangan pahlawan terdahulu.

“Justeru, saya mahukan pemimpin GRS menolak sikap tamak yang jelas membawa kerugian besar dalam sebuah perjuangan parti,” katanya.

Turut hadir, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Lamag, Abu Bakar Gapar dan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sukau, Datuk Juhari Janan.

— Hamzah Sanudin