SANDAKAN: Semua Jawatankuasa perhubungan parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah bersiap siaga merangka gerak kerja awal bagi menghadapi Pilihanraya Umum Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkeyakinan tinggi bahawa parti-parti komponen GRS semua peringkat sudah mula menggerakkan jentera masing-masing.
Katanya, secara holistiknya Gagasan Rakyat telah merancang persiapan yang meyakinkan termasuk logistik penggunaan platform digital dan media sosial.
“Tiga sayap utama Gagasan Rakyat iaitu Wanita, Pemuda dan Beliawanis sudah membentuk kerjasama efektif dengan parti-parti komponen GRS bagi memastikan gerak kerja awal,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Gagasan Rakyat Bahagian Kuamut di salah sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Ditanya mengenai isu yang dicipta pihak pembangkang termasuk menggunakan individu yang memuat naik video rasuah bermotifkan politik, Masiung berkata ia adalah normal menjelang PRN.
“Pemimpin pembangkang yang sebelum ini pernah menerajui kerajaan lebih banyak waktu mencipta bermacam-macam isu dan tomahan.
“Sedangkan kita dalam kerajaan lebih banyak menumpukan usaha untuk pembangunan rakyat dan kini sedang memperbaiki kecacatan yang gagal mereka laksanakan semasa menjadi kerajaan dahulu,” katanya.
Menurutnya, apabila mereka ditolak rakyat dan tidak lagi berkuasa, mereka mencipta pelbagai cerita yang kurang tepat terhadap kerajaan dengan harapan rakyat akan percaya.
— Hamzah Sanudin
Add Comment