Home » GRS tidak pernah aniaya Pegawai Lantikan Warisan :Hajiji
Berita GRS Politik

GRS tidak pernah aniaya Pegawai Lantikan Warisan :Hajiji

Sebagai tanda kenangan, ADUN Tanjong Kapor, Datuk Ben Chong menyerahkan cenderamata kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor pada majlis itu

KUDAT:Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak pernah menganiaya mana-mana pegawai atau Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) agensi kerajaan negeri yang dilantik semasa pemerintahan Parti Warisan (Warisan).

Hajiji berkata, sebaik dilantik sebagai Ketua Menteri hampir lima tahun lalu, beliau sendiri menegaskan kepada pegawai terbabit supaya terus berkhidmat untuk kerajaan.

“Saya tidak pernah menganiaya seorang pun pegawai walaupun mereka dilantik oleh Warisan. Ini berbeza dengan Warisan yang ketika berkuasa lebih dua tahun, mereka banyak mencantas, berdendam dan menekan sesiapa sahaja yang tidak sehaluan,” katanya pada Majlis Makan Malam Bersama Ketua Menteri di sini, malam Jumaat.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya, ADUN Tanjong Kapor Datuk Ben Chong dan ADUN Tempasuk Datuk Mohd Arsad Bistari.

Masalah Air & Konsesi Ditamatkan

Mengulas isu bekalan air, Hajiji berkata, masalah yang berlaku hari ini berpunca daripada keputusan Warisan menamatkan lapan syarikat konsesi air ketika memerintah.

“Tindakan itu menyebabkan syarikat terbabit membawa perkara ke mahkamah dan kerajaan terpaksa membayar pampasan RM315 juta tanpa sebarang faedah. Walaupun begitu, kerajaan GRS tetap bertanggungjawab melaksanakan pelbagai usaha menaik taraf loji air di seluruh Sabah,” jelasnya.

Antara projek yang sedang berjalan termasuk menaik taraf Loji Rawatan Air Kogopon di Papar daripada 40 juta liter sehari (JLS) kepada 80 JLS dengan kos RM380 juta, yang dijangka siap tahun depan. Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM300 juta bagi projek naik taraf loji di lokasi lain termasuk Tawau.

Pan Borneo Sabah

Menurut Hajiji, perkara sama berlaku terhadap Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang mengalami kelewatan lebih empat tahun selepas syarikat konsultan projek itu dihentikan ketika Warisan berkuasa.

Katanya, sepanjang lebih dua tahun memerintah, Warisan tidak membawa perubahan positif tetapi kini menyalahkan kerajaan GRS selepas mereka hilang kuasa.

Pesanan PRN17

Sehubungan itu, Hajiji menyeru rakyat Sabah untuk menjadikan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) sebagai peluang mengekalkan kerajaan GRS-Pakatan Harapan (PH).

“Jangan sia-siakan peluang ini. Jika kerajaan membantu rakyat miskin, pelajar, mengangkat ekonomi serta membangunkan industri, mengapa perlu ditolak pada pilihan raya nanti? Saya berharap rakyat terus memberi kepercayaan kepada calon GRS di mana sahaja kita letak,” katanya.

— TAMAT