Home » Sabah Moto Day bukan ‘Lawak’, tegas Mazlan
Berita GRS Politik

Sabah Moto Day bukan ‘Lawak’, tegas Mazlan

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor merasmikan Sabah Moto Day 8.0 yang berlangsung di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

KOTA KINABALU:Pengerusi Skuad Antidadah Negeri Sabah merangkap Pengerusi Bersama Sabah Moto Day 8.0, Datuk Haji Mazlan @ Joehari Manan menegaskan penganjuran program berkenaan bukan sekadar hiburan apatah lagi ‘lawak’ seperti didakwa sesetengah pihak.

Beliau berkata, sejak dianjurkan lapan tahun lalu, Sabah Moto Day telah menghimpunkan lebih 60,000 motosikal dari Sabah, Sarawak, Labuan, Brunei, Kalimantan dan Semenanjung Malaysia, menjadikannya salah satu platform belia terbesar di rantau ini.

“Puluhan ribu belia hadir setiap tahun. Ia membuktikan program ini diterima baik, bukan sahaja mempromosi budaya permotoran, malah menolak gejala negatif seperti lumba haram dan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Objektif & Kerjasama

Mazlan menegaskan, kritikan yang menyifatkan acara itu sebagai ‘lawak’ mencerminkan ketidakfahaman terhadap objektif sebenar penganjuran.

Katanya, program tersebut dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Skuad Antidadah, selain memberi peluang kepada belia mendekati agensi kewangan seperti KWSP dan BSN untuk memahami kepentingan menabung serta pengurusan kewangan.

“Sabah Moto Day juga membuka ruang kepada usahawan muda dalam bidang automotif, menyuburkan perpaduan kaum, dan menyampaikan mesej sosial yang positif,” jelasnya.

Kehadiran Ketua Menteri

Mazlan berkata, kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang merasmikan acara itu menjadi bukti kukuh bahawa program berkenaan diiktiraf sebagai medan belia yang serius.

Hajiji turut mengumumkan bantuan caruman bernilai RM600,000 kepada 11,000 pemandu e-hailing di Sabah, memimpin doa serta menzahirkan solidariti untuk Allahyarhamah adik Zara Qairina.

“Ini medan yang menzahirkan empati sosial, kesedaran dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap belia,” katanya.

Pelbagai Inisiatif Belia

Mengulas perbandingan dengan program belia di Sarawak, Mazlan berkata ia tidak adil kerana kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai platform pembangunan belia di Sabah mengikut segmen berbeza.

“Selain Moto Day, kita ada inisiatif kapasiti belia seperti Felo SMJ, Pidato Piala Ketua Menteri dan Dewan Undangan Belia Sabah. Pendekatan kita merangkumi hiburan, ekonomi, sosial dan kepimpinan,” jelasnya.

Kritik Dari Jauh

Beliau mengakui ada kelemahan dalam aspek kawalan dan kebersihan, namun langkah pembaikan sudah dilaksanakan oleh penganjur.

“Berbeza dengan mereka yang hanya tahu mengkritik dari jauh, kami turun bekerja, membaiki dan membina. Jika benar peduli belia, turunlah bersama anak muda, jangan hanya menulis di media sosial memperlekeh usaha di Sabah,” katanya.

Menurut Mazlan, kritikan seumpama itu hanya menggambarkan ketandusan modal politik sesetengah pihak sehingga sanggup menjadikan acara belia sebagai bahan cercaan.

“Sabah Moto Day akan terus menjadi simbol perpaduan, kesedaran dan aspirasi belia Sabah. Yang mahu mencari salah boleh terus berbuat demikian, tetapi kerja membina masa depan belia akan tetap diteruskan kerajaan negeri bersama penganjur dan ribuan anak muda yang percaya pada program ini,” tegasnya.

— TAMAT