Home » Tarif elektrik disemak demi bekalan lebih stabil, Kerajaan Negeri beri jaminan
Berita GRS Politik

Tarif elektrik disemak demi bekalan lebih stabil, Kerajaan Negeri beri jaminan

Hajiji ditemui pemberita selepas merasmikan Sekolah Agama Negeri (SAN) Apas Balung yang baharu di Taman Sawit, Balung, pada Ahad di sini.

TAWAU: Kerajaan negeri akan terus memantau kesan pelaksanaan semakan semula tarif elektrik terhadap pengguna susulan pelarasan kadar baharu yang berkuat kuasa di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan mulai 1 Februari 2026.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata kenaikan tarif berkenaan adalah minimum dan tidak membebankan majoriti pengguna, khususnya pengguna domestik di negeri ini.

Menurutnya, peningkatan bayaran yang ditanggung pengguna adalah kecil berbanding manfaat yang diperoleh melalui penambahbaikan kualiti serta kebolehpercayaan bekalan elektrik.

“Kita akan sentiasa memantau kesannya, namun saya fikir impaknya adalah kecil. Jika sekarang seseorang membayar RM100, tambahan mungkin sekitar RM15 sahaja.

“Jadi ia tidak begitu membebankan, terutama jika dengan bayaran itu kita mendapat bekalan elektrik yang lebih baik dan stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Agama Negeri (SAN) Apas Balung yang baharu di Taman Sawit, Balung, di sini, pada Ahad.

Hajiji berkata, semakan semula tarif elektrik yang dilaksanakan oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) melibatkan pelarasan kadar purata tarif asas daripada 34.52 sen sekilowatt jam (kWj) kepada 39.70 sen sekilowatt jam (kWj).

Menurutnya, kadar baharu itu telah diluluskan oleh Jemaah Menteri selepas mengambil kira keperluan semasa, kos sebenar penjanaan tenaga serta kelangsungan jangka panjang sistem bekalan elektrik di Sabah.

“Tarif elektrik di Sabah masih lebih rendah berbanding di Semenanjung. Kenaikan ini hanya sekitar lima sen atau kira-kira 15 peratus dan tidak membebankan rakyat biasa, khususnya 70 hingga 80 peratus pengguna domestik,” katanya.

Beliau berkata, pelarasan tarif berkenaan tidak dapat dielakkan memandangkan peningkatan kos operasi dan penjanaan tenaga yang semakin tinggi ketika ini.

“Kos yang kita tanggung semakin meningkat. Justeru, pelarasan ini perlu bagi memastikan sistem bekalan elektrik di Sabah kekal mampan dan berdaya tahan,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji memaklumkan kerajaan Persekutuan ketika ini menyalurkan subsidi bekalan elektrik kepada Sabah berjumlah kira-kira RM700 juta setahun, atau sekitar RM3.5 bilion bagi tempoh lima tahun.

“Subsidi ini tidak boleh diteruskan tanpa had. Dengan kenaikan kecil sekitar lima sen ini, ia dapat membantu mengurangkan kebergantungan kepada subsidi Kerajaan Persekutuan,” katanya. Beliau berkata, Kabinet Negeri telah bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (Energy Commission of Sabah – ECoS) dan Sabah Electricity selepas mengambil kira peningkatan kos operasi serta keperluan jangka panjang sektor tenaga di negeri ini.

–TAMAT