KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada rakyat Sabah atas mandat yang diberikan kepada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17), sekali gus membolehkan kerajaan negeri meneruskan agenda pembangunan bagi penggal kedua pentadbiran.
Beliau berkata, kedudukan Sabah ketika ini berada dalam keadaan jauh lebih baik berbanding lima tahun lalu ketika kerajaan GRS mula mengambil alih pentadbiran negeri.
“Kita telah berjaya meletakkan Sabah pada landasan yang tepat. Kita kukuhkan kestabilan politik, mantapkan pentadbiran, memperkukuh ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Sabah kini berada dalam keadaan bersedia untuk terus mara ke hadapan dan menikmati pembangunan yang berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Ketua Menteri kepada Pejawat Awam Negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Menurut Hajiji, mandat yang diberikan rakyat bukan sekadar kemenangan politik, sebaliknya satu amanah besar yang menuntut kerajaan negeri memperketatkan pemantauan pentadbiran bagi memastikan keberkesanan dasar dan pelaksanaan program yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Keberadaan Sabah di landasan yang betul ini menuntut kerajaan untuk lebih berdisiplin, memperkukuh pemantauan serta memastikan setiap dasar dan keputusan benar-benar memberi impak positif kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan politik negeri mutakhir ini turut memperkukuh kedudukan kerajaan negeri apabila memperoleh penguasaan dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri, sekali gus menjamin kestabilan politik yang amat penting bagi kesinambungan pembangunan jangka panjang.
Menurutnya, kestabilan itu membuka ruang kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan pembaharuan institusi termasuk penggubalan dan pindaan Perlembagaan Negeri selaras dengan keperluan semasa.
Antara cadangan yang sedang dipertimbangkan termasuk had tempoh jawatan Ketua Menteri kepada maksimum dua penggal atau 10 tahun, penambahan beberapa anggota kabinet bagi memenuhi keperluan pentadbiran yang semakin kompleks, serta penjenamaan semula jawatan Pembantu Menteri kepada Timbalan Menteri agar lebih relevan dengan amalan pentadbiran masa kini.
Dalam pada itu, Hajiji menegaskan kerajaan negeri akan terus memperkukuh jentera pentadbiran supaya lebih responsif, cekap dan berkesan.
“Penstrukturan semula beberapa kementerian, jabatan, agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sedang dilaksanakan sebagai langkah penambahbaikan.
“Matlamatnya ialah memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan lebih efisien, berprestasi tinggi serta tidak membebankan rakyat dan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata langkah itu selaras dengan aspirasi rakyat serta agenda pembangunan negeri di bawah kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, yang memberi penekanan kepada kestabilan, kesinambungan dasar dan hasil pembangunan yang boleh dirasai rakyat.
Hajiji turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus memperkukuh hubungan serta kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan secara berterusan dan konstruktif.
“Kerjasama yang baik antara negeri dan Persekutuan amat penting bagi memastikan kepentingan Sabah terus dipelihara dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
–TAMAT

























Add Comment