KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah melancarkan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030, dengan sasaran utama untuk melonjakkan daya saing, produktiviti serta nilai ekonomi negeri secara menyeluruh dan mampan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata SMJ 2.0 merupakan kesinambungan kepada SMJ 1.0 yang sebelum ini memberi tumpuan kepada pemulihan, penstabilan dan penyusunan semula pentadbiran negeri pasca pandemik COVID-19 serta selepas Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17.
“SMJ 2.0 bukan sekadar sebuah pelan pembangunan, sebaliknya manifestasi komitmen kerajaan negeri untuk memimpin perubahan dalam dunia yang bergerak pantas, dipacu kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, perdagangan rentas sempadan dan persaingan global.
“Pelan ini dirangka melalui proses libat urus menyeluruh melibatkan Kabinet Negeri, kementerian, pemain industri, golongan belia serta seluruh lapisan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Ketua Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sabah dan Pelancaran SMJ 2.0, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Jumaat.
Menurut Hajiji, Belanjawan Negeri Sabah 2026 memperuntukkan sebanyak RM12.02 bilion bagi membiayai 1,173 program dan projek pembangunan, menjadikannya peruntukan tertinggi dalam sejarah negeri, selaras dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) serta aspirasi Malaysia MADANI.
Katanya, SMJ 2.0 turut disusun berpandukan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi memastikan pembangunan yang seimbang, inklusif dan lestari.
Hajiji berkata, pelan itu turut menterjemahkan komitmen dan manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN17, dengan berpaksikan empat tonggak utama iaitu Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United.
“Lima objektif utama SMJ 2.0 ialah membina masyarakat yang bersatu dan aman; mengoptimumkan hasil negeri; mempelbagaikan struktur ekonomi; meningkatkan ekonomi rakyat; serta membangunkan modal insan berkualiti,” katanya.
Menurut beliau, pelan berkenaan digerakkan menerusi tiga teras strategik utama, iaitu:
Sektor Pertumbuhan Ekonomi, dengan fokus kepada perindustrian, pelancongan dan pertanian;
Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat, meliputi pendidikan, TVET, STEM, latihan pertanian dan pendigitalan;
Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau, merangkumi infrastruktur asas, tenaga lestari dan perlindungan alam sekitar.
Ketiga-tiga teras ini disokong oleh fokus silang kepada Ekonomi Biru, pendigitalan berasaskan AI dan pembangunan inklusif, serta dipacu oleh lima pemboleh daya utama iaitu kemampanan fiskal, kemudahan kewangan, keberkesanan perkhidmatan, tadbir urus berintegriti dan kerajaan digital.
Dalam sektor perindustrian, Hajiji berkata Sabah berjaya menarik pelaburan bernilai puluhan bilion ringgit, termasuk projek Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd bernilai RM31 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), yang dijangka mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta mengukuhkan rantaian bekalan industri keluli negeri.
Selain itu, kerajaan negeri akan mempercepat pembangunan dan naik taraf taman perindustrian strategik di KKIP, SOGIP dan POIC Lahad Datu, selain merangka Pelan Induk Perindustrian Kudat berteraskan Ekonomi Biru.
Dua taman perindustrian baharu turut dirancang di Kota Belud–Kota Marudu dan Beaufort–Kimanis bagi memperluas peluang pembangunan wilayah.
Dalam usaha memperkasa perusahaan kecil dan sederhana, Hajiji berkata Inisiatif SME-UP menyasarkan 600 usahawan IKS, termasuk pembangunan sistem data perkilangan dan Program Sabah Ready to Eat (RTE) bagi memperluas pasaran produk tempatan.
Mengulas sektor pelancongan, beliau berkata industri itu mencatat pemulihan yang amat memberangsangkan dengan hampir 10 juta kedatangan pelancong direkodkan dalam tempoh lima tahun lalu.
Katanya, bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Visit Sabah Year 2027, kerajaan negeri memberi penekanan kepada pelancongan berkualiti tinggi, produk premium, penganjuran acara antarabangsa serta pematuhan piawaian global termasuk ASEAN Tourism Standard menjelang 2030.
Usaha pemeliharaan warisan, budaya dan alam sekitar turut diperkukuh melalui pembangunan Pusat Kebudayaan Kinarut, Majlis Seni Negeri Sabah, tapak Warisan Dunia UNESCO dan Taman Teluk Darvel, dengan peruntukan RM444.69 juta di bawah RMKe-13.
Sementara itu, sektor pertanian kekal sebagai teras strategik SMJ 2.0, melibatkan subsektor tanaman, ternakan dan perikanan, dengan peruntukan RM580.45 juta.
“Sasaran tahap sara diri (SSL) beras akan ditingkatkan daripada 30 peratus kepada 60 peratus menjelang 2030 menerusi Program Revolusi Padi di enam daerah, penyediaan jentera moden bernilai RM15 juta serta pembangunan Sabah Agricultural Biotechnology Centre (SABTeC) di Tuaran,” katanya.
Beliau berkata subsektor ternakan pula menyasarkan 25 peratus SSL ruminan menjelang 2030 melalui Program Perladangan Kontrak, manakala sektor perikanan dipacu melalui Ekonomi Biru Sabah, meliputi peningkatan pendaratan ikan, pembangunan pelabuhan serta pengukuhan rantaian nilai hiliran.
–TAMAT

























Add Comment