KOTA KINABALU: Pegawai dan kakitangan negeri yang merasakan tidak lagi mampu melaksanakan tugas yang diamanahkan secara berkesan diminta supaya berterus terang memaklumkan perkara itu kepada pihak atasan atau Ketua Menteri sendiri bagi membolehkan pertimbangan penempatan semula dibuat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata langkah itu penting bagi memberi ruang kepada penambahbaikan dalam perkhidmatan awam, memperkasa keupayaan organisasi serta memastikan kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Menurut beliau, penjawat awam bukan sekadar pelaksana arahan, sebaliknya merupakan rakan strategik kepada kepimpinan kerajaan dalam menterjemahkan dasar dan program kepada hasil yang memberi impak langsung kepada kehidupan rakyat.

“Penjawat awam bukan sekadar ‘Saya Yang Menurut Perintah’, tetapi rakan strategik kepada kepimpinan kerajaan dalam memastikan dasar dan program kerajaan dapat diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada rakyat dan kemajuan negeri.
“Ingin saya tegaskan bahawa perkhidmatan awam merupakan tulang belakang kepada kestabilan serta keberkesanan pentadbiran kerajaan. Kerajaan boleh bertukar, dasar boleh berubah, namun perkhidmatan awam mesti kekal profesional, neutral dan berorientasikan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Ketua Menteri kepada Pejawat Awam Negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Hajiji berkata, setiap anggota perkhidmatan awam perlu kekal padu dengan semangat ingin berkhidmat, selain berpegang teguh kepada disiplin dan nilai integriti dalam menjalankan tanggungjawab.
Menurut beliau, kerajaan negeri komited untuk membina sebuah pentadbiran yang lebih kemas, tersusun dan berdisiplin, memandangkan sebarang perlakuan tidak berintegriti bukan sahaja mencemarkan nama baik individu, malah memberi kesan besar kepada keluarga, institusi yang diwakili serta berpotensi mengakibatkan kerugian besar kepada negeri dan negara.
Bagi memperkukuhkan tahap integriti perkhidmatan awam, Hajiji berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri kini sedang dalam usaha mendapatkan pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2015 dan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS) ISO 37001:2025 secara bersepadu.
Menurutnya, usaha itu bertujuan memperkukuh tadbir urus organisasi, meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam serta menzahirkan komitmen berterusan kerajaan negeri terhadap integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan dan pentadbiran.
“Saya ingin mengingatkan bahawa perkhidmatan awam mesti terus diperkasa bagi menjamin sistem penyampaian yang efektif dan efisien secara konsisten.
“Seruan ini bukan hanya ditujukan kepada agensi perkhidmatan awam, malah turut melibatkan semua kakitangan badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya.
–TAMAT

























Add Comment